Nahas Gerik: Kerajaan beri bantuan tambahan kepada mangsa
- Suara Keadilan
- Jun 12
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan MADANI akan menghulurkan bantuan tambahan sebanyak RM10,000 kepada waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Isnin lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian bantuan tambahan itu telah dipersetujui jemaah menteri yang bermesyuarat pada Rabu.
"Jemaah Menteri bersetuju untuk menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa yang terkorban. Bantuan berjumlah RM5,000 pula akan disalurkan kepada mangsa yang cedera.
"Semoga keluarga dan mangsa yang terkesan dalam insiden yang menyayat hati ini diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini," katanya menerusi satu muat naik di laman sosialnya.
Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia manakala tujuh mengalami cedera parah selepas bas yang dinaiki mereka terbali.
Bas dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu itu dipercayai hilang kawalan, sebelum melanggar belakang kenderaan pelbagai guna (MPV).
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Perdana Menteri telah mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk meneliti aspek insurans bagi membantu keluarga mangsa.
Menyentuh mengenai Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi penuntut yang terkorban dalam nahas itu beliau memaklumkan bahawa pinjaman tersebut akan dilupuskan sepenuhnya.
Comments