Nahas Gerik: Dr Dzulkefly zahir penghargaan kepada petugas hadapan
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menzahirkan penghargaan mendalam kepada semua pasukan barisan hadapan yang terlibat dalam operasi kecemasan susulan nahas bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi Isnin.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, beliau memuji kecekapan dan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh pelbagai agensi termasuk Hospital Gerik, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi lain yang berganding bahu menangani insiden tersebut.
"Seramai 15 pegawai perubatan dan 35 paramedik, disokong oleh lima buah ambulans serta anggota kesihatan daerah, telah dikerahkan segera ke lokasi kejadian.
"Tindakan pantas mereka adalah bukti nyata semangat padu dan kesiapsiagaan sistem kesihatan negara dalam menghadapi sebarang cabaran," katanya.
Media pada Isnin melaporkan kemalangan tragis melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak.
Dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah kenderaan awam itu, seramai 15 pelajar disahkan maut manakala tujuh lagi mengalami kecederaan parah.
Seorang petugas kesihatan di Gerik Medical Centre Dr Muhammad Adam Muskhan turut berkongsikan pengalaman menyentuh hati pada hari kejadian bagaimana petugas barisan hadapan telah bersiap sedia seawal jam 3 pagi bagi menguruskan mangsa tragedi tersebut.
"Saya amat tersentuh dengan perkongsian Dr Muhammad Adam yang menceritakan bagaimana para petugas kesihatan sanggup bangkit walau belum sempat lena, terus berdiri walau belum sempat bersiap - untuk membantu mangsa.
"Ini melambangkan wajah sebenar petugas kesihatan negara, tidak pernah kenal erti penat, tidak meminta pujian," ujar Dr Dzulkefly.
Sehubungan itu tegasnya, demi menghargai pengorbanan pasukan barisan hadapan, beliau menyatakan jaminan akan terus memperjuangkan kebajikan serta martabat petugas kesihatan di seluruh negara.
"Selagi diberi amanah sebagai seorang Menteri Kesihatan, saya akan terus bersuara dan berjuang demi menjaga kebajikan, keupayaan dan martabat mereka. Insya-Allah," katanya.
Comments