Nahas di Gerik: Siasatan terhadap syarikat bas dimulakan - Loke
- Suara Keadilan
- Jun 10
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas yang terlibat nahas tragis yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam.
Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke Siew Fook berkata, pihak kementerian sentiasa komited dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sedang menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) ke atas kenderaan serta operasi syarikat berkenaan.
"Pemeriksaan ini berpandukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
"Tindakan tegas akan diambil sejurus siasatan selesai," katanya dalam kenyataan.
Menerusi kenyataan sama beliau turut menzahirkan rasa sedih atas kejadian tersebut.
Beliau menyifatkan setiap nyawa yang terkorban dalam insiden tersebut sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, tetapi kepada masa depan negara.
"Kejadian ini harus menjadi peringatan kepada semua pihak kerajaan, pengendali, dan masyarakat bahawa tiada kompromi dalam soal keselamatan nyawa. Saya amat sedih dan terkesan menerima berita nahas tragis," katanya.
Sementara itu beliau menjelaskan, beberapa dasar sedang dalam perancangan pihaknya bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Antara dasar yang sedang dirangka termasuklah pelaksanaan wajib Speed Limiter bagi kenderaan berat.
"Polisi untuk dasar ini sedang diteliti secara menyeluruh, termasuk menutup sebarang ruang manipulasi selepas ia dikuatkuasakan kelak," tegasnya.
Comentarios