NAFAS pernah catat kewangan lebih RM3 bilion era Kerajaan PH
- Suara Keadilan
- Nov 22, 2024
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) tidak sewajarnya rugi kerana pertubuhan itu mendapat kontrak perbekalan baja, racun dan sebagainya berbilion ringgit setahun daripada kerajaan.
Hal itu dinyatakan oleh mantan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS, Mohd Hisyamuddin Ghazali yang mendedahkan bahawa pertubuhan itu pernah mencatatkan keuntungan melebihi RM800 juta ketika dipengerusikan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi pada 2019, di era Kerajaan Pakatan Harapan.
Lebih daripada itu, katanya, meskipun cuma setahun pasukannya berada dalam pentadbiran NAFAS, mereka berjaya mengutip hutang sebanyak RM3.1 bilion daripada kerajaan, pembekal dan pengedar baja serta bahan pertanian lainnya.
"Saya berada dalam (NAFAS) itu setahun, tetapi setahun itu saya dan pasukan yang dipengerusikan Datuk Phahrolrazi dan rakan rakan, pasukan yang dilantik oleh (Allahyarham) Datuk Salahuddin Ayub, kita boleh kutip hutang yang mereka tak bayar kepada NAFAS sebanyak RM3.1 bilion.
"Dalam masa setahun (2019) itu juga, kita dapat cari tunai RM800 juta lebih dan dalam masa setahun kita berjaya menjadikan NAFAS yang rugi berpuluh-puluh juta kepada untung berpuluh-puluh juta,'' katanya.
Beliau mendedahkan hal berkenaan dalam rancangan temu bual 'Berani Semuka: Kartel NAFAS lagi? Pertubuhan Peladang Negeri Rugi Kenapa?' bersama aktivis media, Iswardy Morni, malam tadi.
Selain itu, beliau yang juga dikenali sebagai Syam Ghaz turut mempersoalkan tentang individu yang dikatakan mempertikaikan pendedahannya berkaitan NAFAS sebelum ini yang mempersoalkan tempoh berkhidmatnya hanya setahun.
''Kalau dia nak cakap saya baru dalam NAFAS, dia yang dah berpuluh tahun dalam Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) macam mana Permodalan Peladang Berhad (PPB) yang ditubuhkan pada 1990-an yang diuruskan oleh pegawai boleh rugi?,'' soal beliau.
Kata Syam Ghaz, bukan soal baharu atau lama yang perlu diutamakan tetapi kompetensi dan kecekapan.
Katanya, NAFAS tidak boleh disinonimkan sebagai pengagih subsidi kerajaan, membantu petani miskin dan mustahil boleh untung dalam perniagaan.
Hal itu, katanya menjadi sebaliknya apabila pertubuhan tersebut berada di tangan pengurusan yang betul. Untung atau rugi, kata Sham Ghaz, bergantung kepada kecekapan serta kebijaksanaan pihak pengurusan yang mengendalikan perniagaan.
Comments