top of page

NAFAS catat untung tertinggi, ahli Peladang nikmati dividen

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 days ago
  • 1 min read

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencatat keuntungan tertinggi dalam sejarahnya sebanyak RM221 juta bagi tahun kewangan 2024 sejak penubuhannya pada 1972.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) berkata, daripada jumlah itu, RM21 juta diagihkan kepada 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan seterusnya memberi manfaat kepada 212 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).


Tambahnya, Reformasi NAFAS 2.0 sudah menunjukkan hasil melalui urus tadbir telus, disiplin kewangan yang ketat dan ketelusan yang dipertingkatkan.


"Reformasi NAFAS 2.0 bukan sekadar gimik atau slogan, ia sudah pun menunjukkan hasil," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dividen PPN dan Majlis Iftar NAFAS 2026 di Petaling Jaya pada Selasa.


Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) (Pembangunan) Datuk Luqman Ahmad dan Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin.


Sementara itu tambah Mohamad Sabu, pelaksanaan agihan dividen kepada ahli peladang akan dipercepat melalui perintah khas bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.


"Saya akan menggunakan kuasa yang ada di bawah undang-undang untuk membantu ahli peladang. Begitu juga ketika saya membantu NAFAS mendapatkan RM20 juta, walaupun kerajaan tidak terikat atau wajib untuk memberikan peruntukan.


"Alhamdulillah, kerajaan setuju untuk beri RM20 juta dan dapat kita beransur-ansur membawa NAFAS ke arah yang lebih maju sekarang dan pada masa yang akan datang," tambahnya.


Dalam perkembangan lain, Mohamad Sabu turut memberikan jaminan bahawa bekalan barangan asas seperti daging dan ayam mencukupi menjelang Aidilfitri.


Beliau berkata bekalan dijangka kekal stabil sehingga pertengahan tahun ini di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page