top of page

Nadwah Mahasiswa Timur Tengah kukuh peranan mahasiswa di arena antarabangsa

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Aug 23, 2025
  • 2 min read

Dr Zulkifli berucap di majlis Nadwah Mahasiswa Timur Tengah 2025 di Port Dickson, Negeri Sembilan
Dr Zulkifli berucap di majlis Nadwah Mahasiswa Timur Tengah 2025 di Port Dickson, Negeri Sembilan

Nadwah Mahasiswa Timur Tengah 2025 di Port Dickson, Negeri Sembilan, yang dianjurkan bersama oleh pejabat Timbalan Menteri Agama dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melabuhkan tirainya baru baru ini dengan komitmen lebih 200 mahasiswa Malaysia dari tujuh negara Timur Tengah untuk menubuhkan platform penyatuan dan penyelarasan gerak kerja bersama.


Majlis makan malam serta amanat khas nadwah itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, manakala sesi penutup dan dialog disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan.


Nadwah kali ini menghimpunkan mahasiswa dari Jordan, Arab Saudi, Mesir, Maghribi, Tunisia, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang tampil membentangkan resolusi bersama sebagai garis panduan masa depan peranan mahasiswa di peringkat antarabangsa.


"Saya tampil dalam sesi Penutup dan Dialog bersama para pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir, Maghribi, Arab Saudi, Jordan, UAE, Tunisia dan Turkiye.


"Alhamdulillah, semua bersetuju dengan Resolusi Nadwah yang dibacakan oleh perwakilan pelajar dari kesemua tujuh buah negara di atas," kata Dr Zulkifli kenyataannya.


Program ini turut menyaksikan pelancaran Rakan Siswa YADIM Arab Saudi, satu inisiatif bagi mengukuhkan gerakan dakwah dan jaringan mahasiswa Malaysia di rantau tersebut.


Selain sesi dialog bersama tokoh dan pemimpin negara, peserta turut didedahkan dengan perancangan kerjaya, keusahawanan, kemahiran kepimpinan, penghayatan kenegaraan serta nilai hubbul watan (cinta tanah air).


"Perancangan kami berjalan dengan baik, mendapat kerjasama memberangsangkan pelbagai pihak. Bermula dengan pertemuan-pertemuan santai ziarah mahabbah, kami merancang mengadakan program khas untuk pelajar Malaysia di Timur Tengah," kata Dr Zulkifli lagi.


Nadwah Mahasiswa Timur Tengah 2025 sekali gus membuka ruang jaringan strategik antara mahasiswa, kementerian, agensi kerajaan dan sektor korporat, di samping memperkukuh semangat kesatuan pelajar Malaysia di luar negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page