NADI Pulau Banggi menang hadiah di Geneva, terpencil dilengkapi fasiliti digital
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Projek Inklusif Digital NADI Malaysia di Pulau Banggi, Sabah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ia memenangi hadiah Hadiah World Summit on the Information Society (WSIS) 2025 atas usaha memperkasakan komuniti terpencil melalui pembangunan kemahiran digital dan kesalinghubungan.
Hadiah tersebut diterima Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam majlis dianjurkan International Telecommunication Union (ITU) dengan kerjasama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland hari ini.
"Saya amat berbesar hati menerima Hadiah WSIS ini bagi pihak Malaysia. Projek Inklusif Digital NADI di Pulau Banggi mencerminkan komitmen Kerajaan Madani bahawa tiada siapa pun terpinggir dalam era digital.
"Kejayaan ini adalah milik komuniti yang telah menerima kemahiran digital demi masa depan yang lebih baik, serta kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendukung visi negara yang inklusif dan terhubung," kata Fahmi dalam kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.
Inisiatif NADI Pulau Banggi telah memenangi kategori ‘C4: Capacity Building’ atas kejayaannya menyediakan literasi digital, latihan kemahiran dan peluang ekonomi kepada salah satu komuniti pulau paling terpencil di Malaysia, kata MCMC.
Ia juga diiktiraf sebagai johan kategori yang sama, mengukuhkan lagi impak transformasinya, jelasnya.
Terletak kira-kira 70 kilometer dari Kudat dan hanya boleh diakses dengan feri atau bot laju, Pulau Banggi menempatkan kira-kira 20,000 penduduk dengan ekonomi utama berasaskan perikanan, kelapa sawit dan getah.
Kedudukannya yang terpencil telah mengehadkan akses penduduk kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan pertumbuhan ekonomi.
MCMC berkata berikutan kejayaan di Pulau Banggi, NADI kini diperluas ke kawasan kurang mendapat liputan lain termasuk Pulau Mandi Darah dengan rancangan untuk diperluas ke seluruh negara menjelang 2035 melalui modul latihan berskala, hab komuniti, dan pembiayaan jangka panjang di Sabah dan Sarawak.
Kenyataan itu berkata projek Stingray II Pulau Ketam juga diiktiraf sebagai johan kategori ‘C2: Information and Communication Infrastructure’ atas usahanya menyediakan kesalinghubungan berkelajuan tinggi melalui pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 46.4 kilometer antara Kapar dan Pulau Ketam.
"Projek ini telah membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian, keluarga mengakses perkhidmatan teleperubatan dan meningkatkan pertumbuhan perniagaan digital untuk perniagaan kecil," katanya.
Kenyataan itu menekankan bahawa pengiktirafan global ini mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap kesaksamaan digital iaitu memastikan tiada rakyat yang tertinggal walau di lokasi terpencil.
"NADI bukan sekadar projek, ia adalah komitmen untuk memastikan semua rakyat Malaysia mendapat peluang digital yang saksama. Pencapaian ini mengesahkan kedudukan NADI sebagai salah satu program inklusif digital yang paling unik dan berkesan di dunia," katanya.
Tambah kenyataan itu NADI telah mewujudkan hab digital komuniti yang kini menyediakan Internet berkelajuan tinggi dan latihan ICT kepada nelayan, petani, pelajar serta pemilik perniagaan kecil seterusnya melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk berjaya dalam ekonomi digital kini.
"Projek ini telah mengubah kehidupan penduduk, dengan warga belia memperoleh kemahiran ICT, golongan wanita memulakan perniagaan mikro dalam talian dan usahawan tempatan meluaskan pasaran mereka," katanya.
Comments