NADI Malaysia menang WSIS 2025: Usaha inklusif digital dihargai dunia, rakyat
- Suara Keadilan

- Jul 12
- 2 min read

Oleh: Hasbul Muhammad
Kejayaan Malaysia mencipta sejarah apabila Projek Inklusif Digital NADI Malaysia di Pulau Banggi, Sabah diumumkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) 2025, yang membuktikan usaha pendigitalan kawasan luar bandar oleh Kerajaan MADANI diiktiraf dunia.
Bagi Setiausaha Pertubuhan Memperkasa Anak Sabah (Permas), Muhammad Haji Sulaiman (gambar), anugerah tersebut merupakan suatu pencapaian besar di peringkat antarabangsa dan memberi impak langsung kepada komuniti luar bandar seperti di Pulau Banggi di Sabah.
"Alhamdulillah, dengan adanya sambungan internet di Banggi, saya yakin penduduk sangat bersyukur. Kini penduduk boleh berhubung, memulakan perniagaan atas talian, dan meningkatkan taraf hidup.
"Sebenarnya ini yang kita harapkan sebagai rakyat. Internet kini bukan lagi kehendak, tetapi keperluan asas seperti elektrik dan air.
"Terima kasih kepada kerajaan yang mengusahakan inisiatif seperti ni. Kita harapkan inisiatif ini boleh diperluaskan di tempat-tempat yang lain pula nanti," kata Muhammad kepada Suara Keadilan.
Pada 7 Julai lalu, Projek Inklusif Digital NADI Malaysia dinobatkan sebagai juara Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WSIS) 2025.
Penghargaan itu adalah bagi usaha memperkasakan masyarakat terpencil melalui pembangunan kemahiran digital dan kesalinghubungan.
Pusat NADI Pulau Banggi yang memenangi kategori 'C4: Membina Keupayaan' susulan kejayaan menyediakan literasi digital, latihan kemahiran dan peluang ekonomi kepada masyarakat pulau paling terpencil di negara ini.
Terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari Kudat dan hanya boleh diakses dengan feri atau bot laju, Pulau Banggi menempatkan kira-kira 20,000 penduduk dengan ekonomi utama berasaskan perikanan, kelapa sawit dan getah.
Kedudukannya yang terpencil mengehadkan akses penduduk kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan pertumbuhan ekonomi.
Di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Pelan Infrastruktur Digital Negara Malaysia, inisiatif NADI mewujudkan hab digital masyarakat yang kini menyediakan internet berkelajuan tinggi dan latihan ICT kepada nelayan, petani, pelajar serta pemilik perniagaan kecil melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk berjaya dalam ekonomi digital kini.
WSIS 2025 dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dengan kerjasama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meraikan projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang memacu kemajuan ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Dalam perkembangan lain ujar Muhammad, dengan anugerah WSIS 2025 dan kejayaan projek NADI Malaysia adalah bukti bahawa usaha inklusif kerajaan dalam bidang digital benar-benar membawa perubahan kepada rakyat di akar umbi.
Beliau turut mencadangkan agar agensi kerajaan, pihak swasta, pemain industri serta orang ramai memanfaatkan media sosial secara lebih efektif.
"Media sosial sangat memainkan peranan dalam menyampaikan berita baik kepada rakyat. Kita semua sekarang “melekat” dengan telefon pintar di tangan, jadi dari situ kerajaan boleh war-warkan usaha mereka dan peluang-peluang kepada rakyat.
"Kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa ini boleh menjadi pemangkin kepada lebih banyak projek pembangunan digital menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, khususnya di kawasan berpotensi di Sabah yang kaya dengan tarikan semula jadi dan sejarah," ujar Muhammad lagi.









Comments