Nabil berazam perkukuh sayap pemuda KEADILAN
- Suara Keadilan
- 19 minutes ago
- 1 min read

Angkatan Muda Keadilan (AMK) merupakan sayap pemuda yang menjamin kesinabungan perjuangan KEADILAN pada masa hadapan.
Pimpinan yang dilantik untuk memimpin sayap pemuda haruslah mampu membina jiwa kental para pejuang yang akan meneruskan agenda reformasi.
Sehubungan itu Ketua Penerangan AMK Malaysia, Nabil Halimi menawarkan diri bertanding posisi Naib Ketua AMK untuk penggal 2025-2028 bagi memperkukuh perjuangan sayap pemuda itu.
"Saya yakin setiap anggota punyai impian dan cita-cita untuk melihat parti ini terus maju ke depan sebagai sebuah parti pilihan rakyat yang utama.
"Oleh itu, saya, Nabil Halimi dengan penuh rendah diri dan penuh iltizam akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN bagi penggal 2025-2028," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Nabil, bertanding Naib Ketua AMK bukan soal kepentingan peribadi atau jawatan tetapi ianya soal komitmen dan tanggungjawab selaku anggota parti untuk terus memperkuatkan sayap pemuda yang menunjangi Kerajaan Perpaduan pada hari ini.
Beliau berharap mendapat sokongan padu anggota AMK untuk bersama sama membina KEADILAN yang lebih kukuh demi kesuburan demokrasi di Malaysia.