top of page

N Sembilan tidak laksana Proklamasi 19 April selepas AGC isytihar tidak sah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
1 min read

Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan mewartakan atau mengambil sebarang tindakan pelaksanaan terhadap Proklamasi bertarikh 19 April 2026 susulan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa proklamasi berkenaan tidak sah.


Keputusan itu dibuat selepas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri merujuk perkara berkenaan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan sebarang tindakan pentadbiran selaras dengan undang-undang semasa dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).


Dalam kenyataan semalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, pentadbiran negeri akur dengan pandangan AGC bahawa ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti atau kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman berhubung proklamasi tersebut.


"Dari segi perundangan juga, pentadbiran ini akur dengan pandangan Jabatan Peguam Negara bahawa ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan Proklamasi tersebut.


"Selain daripada itu, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli MMKN untuk bersandar kepada Proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka," kata kenyataan itu.


Sehubungan itu, pentadbiran negeri menerima nasihat perundangan berkenaan dan tidak akan meneruskan sebarang proses pewartaan atau tindakan pelaksanaan terhadap Proklamasi 19 April.


"Tindakan sedemikian akan menjadi suatu tindakan yang tidak sah serta tidak berperlembagaan," katanya.


Pendirian terbaharu Kerajaan Negeri itu susulan kenyataan AGC yang menyatakan Proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 19 April lalu adalah tidak sah.


Menurut AGC, proklamasi berkenaan tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.


AGC turut memaklumkan tiada sebarang keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan seperti dinyatakan dalam Perkara 10(1) UUTKNS terpakai kepada Tuanku Muhriz.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page