N Sembilan perkenal Auto City, jana 5,000 peluang pekerjaan
- Suara Keadilan

- Sep 24
- 1 min read

Negeri Sembilan bakal memiliki hab automotif moden pertama menerusi pembangunan Auto City di Bandar Pintar Nilai dengan nilai pembangunan kasar RM1 bilion.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek di atas tanah seluas 728 hektar itu akan memulakan fasa pertama bulan ini, sekali gus menjana lebih 5,000 peluang pekerjaan dalam bidang teknikal, logistik, pemasaran dan perkhidmatan.
"Auto City akan menjadi hab automotif serantau dengan kemudahan bilik pameran, pusat servis, alat ganti, rawatan estetik automotif dan ruang gaya hidup berteknologi tinggi," katanya dipetik.
Bandar Pintar Nilai dibangunkan seiring aspirasi Malaysia Vision Valley yang memacu pelaburan bernilai tambah tinggi melibatkan teknologi canggih dan pembangunan mapan di Negeri Sembilan.
Aminuddin menyifatkan kewujudan ekosistem serantau dinamik di Nilai dapat memacu bandar itu sebagai hab pertumbuhan baharu.
Dengan kedudukan strategik berhampiran KLIA dan Putrajaya serta pembinaan Lebuhraya NLE yang siap 2026, Nilai bakal muncul sebagai pintu gerbang baharu pelaburan, teknologi dan mobiliti negara.
"Pembangunan Auto City bukan sahaja menarik penyertaan jenama antarabangsa, projek ini turut membuka ruang kepada syarikat tempatan menyertai rantaian bekalan industri automotif.
"Ia juga bakal memacu pembangunan zon lain di Bandar Pintar Nilai, termasuk pembuatan kenderaan elektrik, perubatan, pendidikan, pergudangan dan perumahan," jelasnya.









Comments