N Sembilan kuat kuasa larangan minum minuman keras di kawasan awam
- Suara Keadilan

- Jul 3
- 1 min read

Kerajaan Negeri Sembilan menguatkuasakan larangan minum minuman keras di kawasan awam termasuk taman rekreasi, padang, taman permainan kanak-kanak, dan pantai berkuatkuasa serta-merta.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun (gambar) berkata, penguatkuasaan undang-undang baharu itu bagi menghormati sensitiviti masyarakat setempat.
"Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerima banyak aduan daripada masyarakat setempat.
"Sebelum ini kita tiada kuasa untuk ambil tindakan, hanya boleh nasihatkan mereka berpindah tetapi apabila tidak ada undang-undang sebelum ini, mereka boleh buat sesuka hati mereka," katanya dipetik dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, Seremban pada Rabu.
Sehubungan itu tegasnya, mana-mana individu yang minum minuman keras di tempat awam di Negeri Sembilan boleh dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM2,000.
"Mereka perlu minum di tempat yang sesuai seperti kedai atau premis tertutup, bukan di kawasan awam," tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan J Arul Kumar menjelaskan, antara aduan diterima pihaknya termasuk gangguan bising, pergaduhan, dan pembuangan botol minuman keras di kawasan awam.
"Kejadian seperti kanak-kanak tercedera akibat pecahan botol minuman keras pernah berlaku. Ini menjejaskan keselesaan orang ramai yang ingin beriadah," katanya dalam sidang media sama.









Comments