N Sembilan berdepan ketidakstabilan akibat perbalahan BN-PN
- Sidiqin Omar
- 18 hours ago
- 2 min read

Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan disifatkan masih berdepan cabaran besar untuk mencapai kestabilan politik kerana ia tidak dibina atas asas tolak ansur, bukannya persefahaman yang benar-benar kukuh, kata Senator Jufitri Joha (gambar).
Menurutnya, situasi politik di Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) memperlihatkan bahawa gabungan BN-PN masih bergelut untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar stabil kerana kerjasama tersebut lebih didorong oleh matlamat bersama untuk menewaskan lawan politik.
"Kestabilan sangat penting untuk ekonomi dan pelaburan berkembang. Selepas PRN, Negeri Sembilan dilihat masih bergelut untuk mencapai kestabilan kerana kerjasama BN-PN bersifat kerjasama tolak ansur.
"Ia bukan dibina atas persefahaman yang kukuh, sebaliknya dibina atas dasar untuk menjatuhkan musuh politik yang sama," katanya kepada Suara Keadilan.
Jufitri berkata, kewujudan beberapa tokoh besar dalam kedua-dua parti turut menjadikan proses pentadbiran lebih mencabar kerana setiap pemimpin mempunyai pengaruh, kepentingan dan pendekatan politik yang berbeza.
"Tambahan pula terdapat pemimpin-pemimpin besar dalam kedua-dua parti yang mempunyai pengaruh dan kepentingan masing-masing. Sudah tentu mereka mempunyai gaya pembawaan yang berbeza," katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa Menteri Besar baharu bakal berdepan cabaran besar dalam menguruskan isu adat di Negeri Sembilan yang dianggap amat sensitif oleh masyarakat.
Mengulas lanjut, beliau berkata pengalaman politik negara sebelum ini menunjukkan bahawa kestabilan kerajaan tidak boleh bergantung kepada kerjasama yang bersifat sementara atau berasaskan kepentingan politik semata-mata.
Sebaliknya, kerajaan yang mempunyai kesepakatan dasar dan hala tuju yang jelas lebih berupaya menjamin pentadbiran yang konsisten serta memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur.
"Cabaran Menteri Besar baharu untuk menangani isu adat yang dianggap sangat sensitif. Jika gagal ditangani dengan baik, ia boleh menggugat kedudukan Menteri Besar," katanya.
Untuk rekod, meskipun barisan Exco telah dilantik namun berkemungkinan jawatan Timbalan Exco juga perlu diwujudkan bagi memberi semua pihak habuan dalam posisi kerajaan negeri.
