N Sembilan bangun hab halal berteknologi AI bernilai RM400 juta
- Suara Keadilan

- Aug 19
- 1 min read

Negeri Sembilan bakal mencatat sejarah sebagai negeri pertama membangunkan hab halal berkuasa kecerdasan buatan (AI) menerusi pembangunan Pusat Pengedaran Halal Serantau (RHDC) bernilai RM400 juta.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek RHDC akan dibangunkan di kawasan seluas 5.423 hektar di Bandar Enstek, dengan kerja pembinaan dijangka bermula bulan depan.
"Pusat ini akan dilengkapi sistem automasi, AI dan pengurusan pintar bagi memaksimumkan kecekapan operasi serta mengawal kos dengan lebih berkesan.
"Penggunaan teknologi canggih akan menjadikan RHDC pusat yang memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih baik, sekali gus membezakannya daripada kemudahan sedia ada di Malaysia," katanya dipetik pada sidang media pada Isnin.
Terdahulu, Aminuddin hadir ke majlis menandatangani perjanjian antara Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) dengan syarikat pembangunan perisian dan logistik rantaian sejuk, Gobuilders Sdn Bhd di Seremban.
Beliau berkata, permintaan tinggi terhadap produk halal di pasaran global — termasuk Eropah, Rusia, Kanada dan Jepun — bernilai trilion ringgit, dan penubuhan RHDC akan menarik minat pelabur antarabangsa yang mencari pensijilan halal.
Selain memperkukuh usaha mempromosi industri halal negara, pusat yang terletak dalam kawasan Malaysia Vision Valley 2.0 itu juga dijangka menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan baharu ke Negeri Sembilan.
"Dengan kemudahan dan perkhidmatan ditawarkan, Negeri Sembilan bakal menjadi tumpuan industri halal bukan sahaja dari rantau Asia, malah dari seluruh dunia.
"Selain menyediakan infrastruktur moden, projek ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi khususnya untuk penduduk tempatan," tambahnya.









Comments