MyKiosk: 60 peratus unit di N Sembilan sudah diisi peniaga - Exco
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Inisiatif MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Negeri Sembilan mendapat sambutan amat menggalakkan dari golongan peniaga kecil.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, J Arul Kumar berkata, ketika ini lebih 60 peratus daripada keseluruhan 414 unit MyKiosk di negeri itu sudah diisi.
Tambahnya, bagi memastikan program itu memberi manfaat kepada golongan peniaga, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diarah untuk menempatkan peniaga di semua unit MyKiosk yang masih kosong dalam tempoh sebulan.
"Selain itu, kelonggaran diberikan kepada peniaga jalanan yang ingin memohon lesen dan unit MyKiosk untuk berniaga di lokasi masing-masing.
"Mereka boleh memohon. namun perlu mematuhi ciri-ciri keselamatan jalan raya yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Asalkan lokasi tersebut sesuai dan tidak membahayakan lalu lintas, kami akan berikan lesen," tambahnya.
Sementara itu Arul Kumar turut menjelaskan, pihaknya turut komited memastikan kemudahan disediakan dapat benar-benar membantu golongan sasar.
"Kami mengenakan sewa minimum sekitar RM100, maksimum pun RM150, tidak lebih daripada itu.
"Malah, jika terdapat unit MyKiosk yang tidak laku di tempat lain, kami akan pindahkan ke lokasi tersebut. Itu sahaja, masalah selesai," katanya dipetik.
Sebelum ini terdapat pihak yang cuba melontar persepsi buruk dengan mendakwa inisiatif MyKiosk tidak mendapat sambutan dan menjadi projek gajah putih selain mendakwa berlaku ketirisan dalam projek tersebut.
Susulan itu, KPKT pada Selasa menegaskan akan membuat laporan polis serta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyebaran beberapa berita palsu mengenai projek itu.
"Kakitangan kementerian sedang giat mengumpulkan segala video yang menyebar berita palsu. Jika kamu mahu sebar berita palsu, silakan sebab kita pun akan ambil tindakan tegas," kata Menterinya, Nga Kor Ming.