
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) hari ini melancarkan program MyDIGITAL.KKD bagi meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap digitalisasi.
Menterinya Ahmad Fahmi Fadzil berkata, program promosi jalur lebar dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad itu akan mendidik masyarakat untuk mendekatkan diri dengan teknologi maklumat memandangkan urusan seharian dan pekerjaan pada masa hadapan akan banyak dilakukan secara digital.
"Program MyDIGITAL.KKD dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran literasi digital kepada masyarakat untuk lebih memahami mengenai ketersambungan jalur lebar, maklumat digital serta peluang-peluang daripada solusi yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.
"Program ini bertujuan untuk merapatkan jurang digital seiring dengan usaha membina masyarakat bermaklumat serta berkemahiran dalam ekonomi digital.
"Kandungan portal ini mempunyai 180 artikel dan 36 video pendek yang merangkumi teknologi, keusahawanan, gaya hidup, kreatif, kesihatan, pelancongan dan sukan," kata Fahmi dalam ucapan program Pengagihan PerantiSiswa dan Perasmian MyDIGITAL.KKD di UiTM Shah Alam, pagi tadi.
Mengenai Inisiatif PerantiSiswa pula, katanya, KKD berkerjasama dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk membantu mahasiswa atau pelajar yang berada dalam kelompok keluarga B40 agar mempunyai akses digital bagi pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam kuliah.
"Inisiatif ini melibatkan kos berjumlah RM450 juta dan memberi manfaat kepada 359,742 mahasiswa dan pelajar dalam kelompok keluarga B40.
"Sejak permohonan dibuka bermula 15 April 2022, pihak KKD telah menerima sebanyak 474,311 permohonan.
"Setelah saringan kelulusan dilaksanakan, sebanyak 368,803 penerima PerantiSiswa telah dikenalpasti. Kementerian juga sedang melaksanakan penelitian dan pengenalpastian bakal penerima yang dibuat dengan terperinci termasuk mencerakinkan justifikasi rayuan bersama pelbagai pemegang taruh iaitu Kementerian, institusi dan jawatankuasa yang terlibat dalam memastikan liputan yang lebih meluas, termasuk permohonan yang gagal," katanya.
Manakala, untuk mempercepatkan pengagihan peranti kepada mahasiswa dan pelajar katanya, KKD telah mengaktifkan 31 Pusat Pengagihan Berpusat (PPPs) di seluruh negara selama tiga (3) minggu bermula 17 Februari 2023.
Melalui Pengagihan Berpusat tersebut sebanyak 33,540 peranti telah diagihkan dalam tempoh tiga minggu. Baki 9,000 peranti dijangka akan diselesaikan secepat mungkin.
Informasi mengenai Program MyDIGITAL.KKD yang dilancarkan hari ini boleh diperolehi dengan melayari portal tersebut di https://mydigital.kkd.gov.my.