MYCEC: RM5j untuk ekosistem hala tuju kerjaya
- Suara Keadilan

- 12 hours ago
- 2 min read

Peruntukan RM5 juta disalurkan untuk menyediakan ekosistem hala tuju kerjaya yang lengkap secara fizikal dan dalam talian, demi merungkai isu kadar guna tenaga tidak penuh di Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, berkata MYFutureJobs Career Exploration Centre (MYCEC) seliaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah pemangkin perubahan yang bakal menjadi penghubung antara bakat dan industri.
Beliau menyifatkan hab imersif pertama di Malaysia itu sebagai penyelesaian konkrit dalam membela nasib hampir dua juta generasi muda yang terperangkap dalam polemik ketidakpadanan kerja berkaitan kemahiran.
"Kita tidak mahu perkhidmatan yang ditawarkan melalui MYCEC hanya terhad kepada penggunaan di sekitar Lembah Klang sahaja kerana hakikatnya isu ketidakpadanan kerja ini berlaku di serata negara.
"Justeru, peruntukan RM5 juta ini akan dimanfaatkan untuk kita perluaskan capaian MYCEC secara dalam talian dan fizikal di institut pengajian tinggi (IPT) kerana menara gading adalah antara ‘titik awal’ yang memerlukan instrumen pendedahan mengenai pasaran buruh semasa," katanya ketika berucap merasmikan MYCEC di KL Sentral, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Sri Subahan Kamal.
Pada majlis sama juga berlangsung pemeteraian Memorandum Persefaham (MoU) antara PERKESO dan RHB Bank Berhad ke arah memperluas akses MYFutureJobs, meliputi 618,000 pengguna aktif Kad Debit-i MySiswa RHB.
Mengulas lanjut, Ramanan menaruh keyakinan bahawa menerusi kekuatan pangkalan data mengenai pasaran buruh semasa di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang dipaparkan melalui platform interaktif realiti maya MYFutureJobs, ia bakal menjadi pelengkap dasar di kementerian lain.
Ramanan berkata, MYCEC memanfaatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sistem visual interaktif untuk menyelaraskan semula potensi graduan dengan keperluan industri yang semakin mencabar.
Katanya, pendekatan sedemikian selari perubahan zaman yang menuntut peralihan daripada kaedah konvensional semata-mata untuk menarik minat pencari kerja.
"Sebagai contoh, teknologi Roblox yang menjadi inspirasi kepada MYCEC sebenarnya begitu sinonim dengan gaya hidup generasi muda masa kini kerana cara mereka mencari kerja jauh berbeza dengan zaman terdahulu.
"Justeru, kita perlu letakkan diri dalam sudut pandang mereka agar sebarang dasar, kemudahan dan penyelesaian yang dirangka bersifat dekat dengan generasi muda.
"Malah, ekosistem pencarian kerja tidak boleh lagi bergerak secara terpisah, sebaliknya, sistem hari ini perlu menyokong keseluruhan perjalanan seseorang pencari kerja, daripada bangku sekolah sehingga ke alam pekerjaan," katanya.
Mengulas cabaran pasaran buruh semasa, Ramanan berkata walaupun kadar pengangguran berada pada paras rendah iaitu 2.9 peratus, beliau menegaskan bahawa isu sebenar bukan lagi kekurangan pekerjaan, tetapi ketidakpadanan antara kelayakan, kemahiran dan keperluan industri.
Secara purata, beliau berkata, satu daripada tiga graduan hari ini bekerja dalam bidang yang tidak sejajar dengan kelayakan mereka, sekali gus mengakibatkan kerugian bakat dan negara kehilangan peluang untuk mengoptimumkan produktiviti sedia ada.
"Saya percaya penjajaran bakat dengan keperluan industri adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan, di samping meningkatkan kualiti pekerjaan dan mobiliti sosial rakyat.
"Justeru, saya optimis, MYCEC akan menjadi pemacu perubahan dalam landskap pasaran buruh di Malaysia dengan menggabungkan teknologi moden dan pendekatan inovatif bagi memperkukuh pemadanan pekerjaan serta bimbingan kerjaya yang moden dan inklusif," katanya.




Comments