top of page

Musyawarah Isu-Isu Islam, Bumiputera redakan suhu politik perkauman

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Mar 7
  • 2 min read
Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera mampu redakan suhu politik Melayu. Foto: FB Wan Anwar
Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera mampu redakan suhu politik Melayu. Foto: FB Wan Anwar

Pertemuan pelbagai parti politik dalam Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang berlangsung di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur semalam disifatkan sebagai bukti kematangan demokrasi negara dan menunjukkan bahawa kesatuan Melayu serta kepentingan umat tidak pernah terpinggir walaupun wujud perbezaan politik.


Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, pertemuan yang menghimpunkan parti-parti berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera daripada pelbagai spektrum politik itu – termasuk kerajaan dan pembangkang – memperlihatkan bahawa ruang dialog tetap wujud apabila menyentuh kepentingan umat.


Menurut beliau, kebimbangan sebahagian masyarakat Melayu tentang perpecahan politik sering dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk menimbulkan persepsi bahawa orang Melayu dan Bumiputera berada dalam keadaan terancam.


"Pertemuan ini membuktikan bahawa walaupun parti-parti politik bersaing dalam pilihan raya dan berbeza pandangan dalam banyak perkara, apabila menyentuh kepentingan Islam, kedudukan Melayu dan masa depan Bumiputera, ruang pertemuan dan dialog sentiasa wujud," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Anwar Wan Ibrahim
Wan Anwar Wan Ibrahim

Tambahnya, musyawarah tersebut juga mencerminkan kematangan politik yang semakin berkembang dalam kalangan pimpinan parti-parti politik di negara ini.


"Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam sistem demokrasi, namun ia tidak seharusnya diterjemahkan sebagai perpecahan umat. Sebaliknya, perbezaan itu boleh menjadi sumber kekuatan jika diurus melalui perbincangan terbuka, rasional dan berasaskan kepentingan bersama," jelasnya.


Dalam masa sama, beliau berkata persetujuan menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera merupakan langkah penting untuk memperkukuh budaya dialog antara parti politik.


Katanya, platform tersebut berpotensi menjadi ruang perundingan berterusan bagi membincangkan isu strategik berkaitan kedudukan Islam, kesejahteraan masyarakat Melayu serta pembangunan Bumiputera secara lebih tersusun dan berhemah.


Wan Anwar turut mengingatkan bahawa masyarakat Melayu dan Bumiputera tidak seharusnya terperangkap dengan naratif sempit bahawa perpaduan hanya boleh dicapai melalui satu parti atau satu blok politik semata-mata.


"Dalam realiti politik moden, kekuatan umat bukan terletak pada keseragaman politik, tetapi pada kemampuan membina kesepakatan dalam perkara-perkara asas yang menyentuh kepentingan bersama," katanya.


Beliau menegaskan bahawa dialog, musyawarah dan keterbukaan merupakan jalan terbaik untuk memperkukuh perpaduan umat dalam kerangka Malaysia yang demokratik, inklusif dan berperlembagaan.


"Perpaduan sebenar tidak lahir daripada retorik politik, tetapi daripada kesediaan untuk duduk semeja, mendengar dan mencari titik persamaan demi maslahat umat dan negara," katanya.


Untuk rekod, musyawarah diwujudkan lebih kepada untuk mengelakkan suhu perkauman berteraskan isu Melayu-Islam tidak tinggi dalam persaingan politik parti parti Melayu sama ada kerajaan mahupun pembangkang yang hanya akan merugikan kaum itu sekiranya kekacauan terjadi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page