Musuh mula gentar, Anwar kuasai politik dunia Islam - Amidi
- Redzuan Shamsudin
- Jul 30
- 3 min read

Sebaik sahaja pemimpin Thailand dan Kemboja dibawa ke Malaysia dan dalam masa singkat 'orang tengah' Perdana Menteri (PM) Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memujuk mereka untuk menandatangani dokumen gencatan senjata, dunia mula tertanya tanya pada tahap manakah pengetahuan politik Anwar dan setingkat mana skil diplomatiknya.
Menurut Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan, bagi pihak yang mengenali susuk Anwar sejak lama maka mereka boleh membaca kepekaan pemimpin itu dalam melantik bekas PM Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat peribadi Pengerusi ASEAN 2025.
Biarpun, katanya, Thaksin dikritik hebat atas kekotoran tangannya terbabit insiden pembantaian umat Islam di Takbai yang penuh kontroversi namun bacaan Anwar terhadap kekuatan pengaruh politik Thaksin amat tepat.
Begitu juga hubungan Anwar dan Presiden Senat Hun Sen, pemimpin berpengaruh Kemboja yang mendorong untuk segera meredakan sengketa.
Malah hal itu kini, kata Amidi, membuat para musuh politik Islam mula berasa gementar menghadapi susuk Anwar.

"Politik penyatuan berteraskan kesederhanaan yang diamalkan oleh Anwar membuatkan musuh-musuh Islam pada waktu ini ketakutan. Anwar dilihat benar-benar menguasai politik dunia Islam.
"Dia bukan sahaja memahami politik kepuakan dalam umat Islam. Dia tahu sensitifnya umat Islam Arab dengan umat Islam Turki. Politik Arab di negara teluk dengan Arab di Afrika Utara.
"Begitu juga dengan situasi politik Asia Tengah yang berselirat dengan sokongan terhadap kuasa Barat dan Eropah. Itu belum lagi kita ambil kira pelawaan Pakistan untuk Anwar memainkan peranan dalam konflik India-Pakistan.
"Sahabatnya Prof Yunus di Bangladesh yang mengetuai pentadbiran sementara negara itu juga amat menghormati beliau," katanya dalam kenyataan.
Membezakan Anwar daripada pemimpin dunia Islam lain, ujar Amidi, ialah budaya ilmu yang menjadi disiplinnya sejak muda.
Katanya, Anwar mahir dalam pertembungan aliran mazhab yang memudahknya untuk mewujudkan perhubungan dalam kalangan pimpinan politik Islam di belahan dunia mana sekali pun.
"Anwar Ibrahim memahami pertembungan aliran pemikiran, mazhab fiqh dan aqidah umat Islam. Beliau diterima dan rasa dipunyai oleh semua aliran tersebut.
"Beliau juga dirasai kebersamaannya dalam perjuangan umat Islam di Patani, perjuangan umat Islam di Selatan Filipina dan Rohingya. Sudah semestinya perjuangan umat Islam di Palestin juga amat merasai kebersamaan beliau.
"Inilah kekuatan yang amat ditakuti oleh musuh. Kekuatan seperti ini tidak dipunyai oleh semua pemimpin negara Islam," jelasnya.
Hal itu, tegas Amidi, mungkin membuat musuh Islam di Barat berfikir untuk melemahkan Anwar. Penentangan boleh dilakukan dari dalam bagi mengurangkan keberkesanan pengaruhnya di peringkat antarabanagsa.
Sahabat Anwar, Recep Tayyip Erdoğan juga, kata Amidi, menghadapi masalah sama di Turkiye dengan penentangan berterusan golongan sekular di negara itu dibiayai musuh Islam.
"Anwar mesti dilihat sebagai pemimpin bermasalah di negaranya terlebih dahulu. Perkara yang sama dilakukan di Turkiye terhadap Erdogan.
"Demonstrasi besar-besaran di seluruh Turkiye yang berlaku pada bulan Mac lalu bagi menggambarkan Erdogan dibenci oleh rakyatnya sendiri.
"Apabila Erdogan bertindak tegas untuk mengekang demonstrasi, dia digambarkan pula sebagai pemimpin kuku besi," ujarnya.
Maka, kata beliau, tidak mustahil demonstrasi Turun Anwar yang berkali kali dipinda fokusnya daripada Akta Pembaharuan Bandar ke isu pelantikan hakim ditaja oleh musuh Islam.
Katanya, pada waktu Malaysia sedang melonjak prestasi ekonominya, pembetulan dan pembersihan jentera kerajaan secara intensif, tiba-tiba dianjurkan satu demonstrasi untuk menurunkannya dari kepimpinan negara.
"Ia dilakukan dengan meniupkan api kebencian yang melampau. Ucapan seorang pemimpin usang, yang menuduhnya mengamalkan hubungan sejenis, patungnya disebat sambil melaungkan kata-kata yang penuh kebencian adalah contoh jelas ini semua adalah rancangan musuh Islam yang didalangi oleh agen perisikan seperti Mosad dan seumpamanya.
"Lebih teruk lagi, unjuk rasa Turun Anwar, tidak mampu menamakan seorang pengganti jika Anwar diturunkan. Ia satu mesej yang nyata bahawa penganjur saling bersaing dan berbalah bagi merebut kuasa politik negara," katanya lagi.
Tegas Amidi, sekiranya tuntutan para perancang demonstrasi itu berjaya maka Malaysia akan terjerumus ke dalam kancah perpecahan.
Negara kuasa besar Barat, sinisnya, akan ketawa besar melihat seorang pemimpin beragama Islam menjadi boneka mereka bagi menghancurkan kekuatan kepimpinan umat Islam yang mula menyinar dari Timur.
Comments