Mustapha Sakmud dilantik Pengerusi Pakatan Harapan Sabah
- 3 hours ago
- 1 min read

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah yang baharu.
Pelantikan itu diputuskan menerusi mesyuarat pimpinan HARAPAN Sabah yang diadakan pada Ahad yang antara lain bagi membincangkan kekosongan jawatan berkenaan.
"Setelah berbincang, mesyuarat bersetuju melantik saya sebagai Pengerusi HARAPAN Sabah yang baharu bagi mengisi jawatan yang kosong.
"Turut dilantik ialah Abdul Razak Jamil sebagai Setiausaha Agung dan Zaidi Jatil daripada KEADILAN sebagai Ketua Pemuda. Datuk Phoong Jin Zhe kekal sebagai Timbalan Pengerusi, Datuk Chan Fong Hin sebagai Bendahari, manakala Datuk Jannie Lasimbang sebagai Ketua Wanita HARAPAN Sabah," katanya dipetik.
Sebagai rekod, jawatan Pengerusi HARAPAN Sabah disandang Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick. Namun, jawatan itu menjadi kosong selepas parti itu memutuskan keluar daripada gabungan berkenaan pada November lalu.
Sementara itu, Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) turut memaklumkan, mesyuarat turut membincangkan hala tuju HARAPAN Sabah.
Selain itu, isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut dibangkitkan, khususnya membabitkan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.





