top of page

Mustapha Sakmud beriltizam angkat martabat Sabah, Sarawak

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 1 min read
ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Datuk Mustapha Sakmud (gambar) merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pelantikannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi urusan Sabah dan Sarawak.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah itu dalam satu kenyataan menyifatkan kepercayaan diberikan itu sebagai amanah besar dan beriltizam menggalasnya dengan penuh rasa tanggungjawab serta kesedaran terhadap harapan rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak.


"Insya-Allah, amanah ini akan dipikul dengan tekad untuk meneruskan serta memperkukuh usaha berkaitan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang telah dimulakan di bawah kepimpinan Kerajaan Malaysia MADANI demi kepentingan kedua-dua wilayah.


"Tanggungjawab baharu itu akan digerakkan melalui kerjasama erat dan harmoni antara Perdana Menteri, Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah bagi memperkukuh penyelarasan dasar dan pelaksanaan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak," kata Ahli Parlimen Sepanggar itu.


Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Mustapha dalam satu sidang media berhubung rombakan Kabinet Kerajaan MADANI pada Selasa bertujuan memperkukuh penyelarasan dasar dan pelaksanaan agenda pembangunan kedua-dua negeri berkenaan.


Sementara itu Mustapha menegaskan komitmen berterusan untuk mengembalikan dan mengangkat martabat Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia.


Tekad itu selaras dengan semangat, sejarah serta peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas pembentukan Persekutuan demi kemakmuran rakyat dalam Negara Malaysia yang berdaulat.


"Saya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir serta seluruh pasukan KPT atas kepimpinan dan kerjasama erat sepanjang saya berkhidmat di Kementerian Pendidikan Tinggi.


"Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi penyediaan bakat terbaik Negara, meluaskan akses pendidikan tinggi dan memperkasa institusi pendidikan tinggi di seluruh Negara," katanya yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page