Mustapha galak golongan belia teroka ekonomi jingga


Perkembangan teknologi baharu membuka peluang kepada anak muda untuk menghasilkan idea kreatif serta kandungan digital yang boleh dipasarkan untuk menjana pendapatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata, penguasaan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital dan penciptaan kandungan berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu
"Untuk jangka masa pendek, kita menggalakkan anak-anak muda menceburkan diri dalam industri kreatif atau ekonomi jingga kerana bidang ini banyak melibatkan teknologi baharu termasuk AI.
"Kalau kita boleh menguasai teknologi AI, kita mampu melahirkan idea-idea baharu dan menghasilkan kandungan untuk dipasarkan, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di negeri-negeri lain," katanya dipetik laporan media.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah itu sebelumnya hadir ke program Hi-Tea Anak Muda Bersama Menteri di The Annedible Cakery, di Kota Kinabalu.
Selain meneroka potensi ekonomi Jingga, Mustapha turut menggalakkan golongan belia untuk meneroka bidang perniagaan baharu termasuk perkhidmatan barista yang mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai perniagaan kecil-kecilan.
"Ini semua bidang-bidang baru. Jadi mereka boleh berjinak-jinak dengan perniagaan-perniagaan ini dan akhirnya mereka boleh menjana pendapatan," jelasnya.




Comments