top of page

Muslimat Pas perlu bangkit tentang kenyataan seksis Pemuda Pas - Wanita KEADILAN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 5
  • 2 min read
ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Wanita KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya kenyataan seksis yang dikeluarkan seorang pemimpin Pemuda Pas yang menyamakan peranan wanita dengan haiwan ternakan dan mempertikaikan kemampuan golongan Hawa untuk memimpin.


Naib Ketua Wanita Pusat KEADILAN Loh Ker Chean (gambar kiri) menegaskan kenyataan tersebut bersifat misoginis dan menghina wanita, serta berpotensi menakutkan golongan wanita bukan Islam daripada menyertai politik arus perdana.


"Saya amat kesal dengan kenyataan seksis lagi bersifat pembenci perempuan (misogynist) begini yang terpacul daripada mulut longkang Pemuda Pas," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Ker Chean, kenyataan seperti itu bukan sahaja mundur, malah cuba menyingkirkan wanita daripada tampuk kepimpinan dan pentadbiran negara.


"Ia bukan sahaja akan menakutkan golongan wanita bukan Islam, tetapi ia juga cubaan terang-terangan untuk meminggirkan peranan wanita daripada tampuk kepimpinan arus perdana," tegas beliau.


Sehubungan itu, beliau menyeru agar Muslimat Pas sendiri turut bangkit menolak dan mengutuk kenyataan yang dianggap berakar dari ‘pemikiran zaman batu’ itu.


Ker Chean menggesa pimpinan tertinggi Pas agar tidak bersikap lepas tangan dan tampil memberikan penjelasan terbuka serta mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat.


"Mana-mana retorik yang menghina wanita harus ditangani dengan serius agar tidak menyemarakkan budaya politik yang rendah nilai," katanya.


Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia, khususnya kaum wanita supaya menolak fahaman politik yang menyusupkan agenda patriarki atas nama agama.


"Kita mesti menegakkan maruah wanita dan menjamin keadilan gender dalam arena politik negara," tambahnya.


Kecaman tersebut merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al-Farisi, yang sebelum ini menggunakan analogi penternakan lembu dalam hujah menolak wanita sebagai pemimpin.


Dalam klip video yang tular, Salman menyamakan wanita dengan “lembu betina” dan berhujah bahawa dalam kawanan lembu, lembu betina sering dilihat sebagai ketua, namun ia tetap bergantung kepada lembu jantan untuk perlindungan lantas menggambarkan bahawa lelaki lebih layak memimpin.


Beliau turut mengaitkan hujahnya dengan ayat al-Quran dari surah An-Nisa’, dalam usaha mempertahankan pendiriannya bahawa lelaki seharusnya menjadi pemimpin dalam masyarakat.


Kenyataan itu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak termasuk pertubuhan wanita seperti Pertubuhan Kebajikan BIDADARI Malaysia yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai “menghina wanita secara terang-terangan”.


Pengasas BIDADARI, Napsiah Khamis Maharan (gambar kanan) dalam kenyataannya menuntut Pas mengambil tindakan disiplin terhadap Salman dan membuat permohonan maaf terbuka kepada semua wanita di negara ini.


"Wanita bukan lembu. Ini bukan analogi biasa. Ia seksis dan memperkecilkan wanita," tegas Napsiah.


Namun Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan kenyataan itu dengan menyifatkannya sebagai analogi biasa yang tidak bertujuan menghina sesiapa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page