'Musim tengkujuh tiba, peluang AMK tunjuk gerak kerja'


Musim tengkujuh yang akan melanda negara mulai akhir Oktober hingga Disember 2022 ini perlu dimanfaatkan oleh Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia dengan gerak kerja bantuan, terutama ke atas mangsa banjir.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN Cabang Ampang, Syafiq Zulkifli, gerak kerja AMK amat penting untuk mempamerkan sayap pemuda itu mantap dan mampu menyaingi parti parti lain, terutama MUDA dalam hubungan dengan masyarakat.
"Sekiranya sayap anak muda kita benar-benar yakin kita mampu bergerak tanpa parti MUDA sebagai rakan, sudah tiba masanya kita tunjukkan kepada pimpinan pusat yang jentera AMK boleh dikerah secara tak berbelah bahagi di bawah pimpinan Ketua AMK Adam Adli dan Timbalan beliau Kamil Munim.
"Fokus kepada kebajikan rakyat dapat dimantapkan lagi melalui saf yang utuh. Musim tengkujuh yang hampir tiba adalah peluang bagi mereka yang seangkatan menunjukkan bahawa kita lebih peduli rakyat daripada gilakan kuasa," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syafiq lagi, AMK dan penyokong KEADILAN juga perlu mempermantap gerak kerja bagi memastikan rakyat melihat kewibawaan KEADILAN dan Pakatan Harapan sebagai kerajaan menanti dalam Pilihan Raya Umum ke 15.
"Justeru saya menyaran mereka yang sependapat mula menunjukkan kesediaan untuk bergerak seiiringan di dalam program-program parti dan usaha kebajikan di bawah panji KEADILAN," katanya lagi.




Comments