
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan telah tiba masa untuk “proses rekonsiliasi nasional” dimulakan.
Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN dalam ucapannya berkata, proses tersebut harus dicapai oleh pimpinan negara dan masyarakat bagi memastikan Malaysia berada dalam keadaan aman dan dapat terus bergerak ke hadapan.
"Proses rekonsiliasi atau ta’lif ini bertujuan mengurangkan ‘ketajaman’ yang kita lihat sejak tragedi ketidakbertanggungjawaban Februari 2020 yang mengabaikan proses demokrasi dan menafikan penglibatan serta peranan langsung rakyat dalam menentukan masa depan negara," katanya dipetik merujuk Langkah Sheraton yang membawa kepada kejatuhan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan memerintah.
Pada ucapan itu juga, Amirudin menegaskan politik dan praktis proses demokrasi bukan sebuah keadaan “pemenang-bolot-semua” dan tidak wajar dijadikan “zero-sum game”.
Tambahnya, Selangor baru sahaja melalui proses Pilihan Raya Negeri (PRN) yang agak kompetitif kerana ada pihak yang “bertindak melampaui batas sehingga mengabaikan dan melupakan adab”.