Mujahid cabar Hadi kemuka bukti dakwaan CSA pendekatan Dajjal


Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mencabar Presiden Pas, Hj Hadi Awang mengemukakan bukti khusus bagi menyokong dakwaannya bahawa Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) merupakan “pendekatan Dajjal pada akhir zaman”.
Mujahid berkata, Hadi perlu menunjukkan klausa dalam perjanjian berkenaan yang membuktikan wujudnya unsur penipuan, paksaan atau pengkhianatan amanah seperti yang didakwanya.
Menurutnya, selagi bukti tidak dikemukakan, pelabelan sedemikian boleh dianggap sebagai tuduhan berniat jahat yang berpotensi mengapi-apikan kebencian politik.
"Saya mencabar Tan Sri Abdul Hadi Awang mengemukakan bukti khusus untuk menyokong dakwaannya bahawa CSA merupakan 'pendekatan Dajjal pada akhir zaman'.
"Tunjukkan klausa yang membuktikan penipuan, paksaan atau pengkhianatan amanah," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan konsistensi pendirian Hadi berhubung kerjasama politik antara kerajaan dan pembangkang dengan mengimbas semula pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September 2021.
Katanya, MoU berkenaan dimeterai antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu turut dianggotai Pas dan Bersatu.
Malah, Hadi sendiri ketika itu berkhidmat sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.
"Walaupun MoU 2021 dan CSA sekarang berbeza (isi) kandungannya, kedua-duanya melibatkan persefahaman kerajaan dengan pembangkang demi kestabilan.
"Apakah ukuran prinsip Hadi sehingga kerjasama ketika Pas berada dalam kerajaan boleh diterima, tetapi kini dilabel dengan istilah Dajjal?" katanya.
Mujahid menegaskan kestabilan politik perlu bergerak seiring dengan reformasi, pengagihan peruntukan rakyat secara adil dan telus serta pemeliharaan prinsip semak dan imbang.
Menurutnya, sesuatu perjanjian politik perlu dinilai berdasarkan kandungan dan pelaksanaannya, bukannya melalui penggunaan istilah keagamaan tanpa bukti.
"Nilailah perjanjian berdasarkan kandungan dan pelaksanaannya. Jangan gunakan agama untuk menggantikan bukti," katanya.




Comments