Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menaikkan Elaun Sara Hidup Nelayan dari RM250 kepada RM300 sebulan dan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana memotong elaun itu suatu ketika dahulu ibarat 'menepuk air di dulang, kena ke muka sendiri'.
Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, adakah Muhyidin telah lupa bahawa beliau pernah berada dalam kerajaan PH dan tidak pula membantah sewaktu mesyuarat kabinet meluluskan pemotongan elaun berkenaan.
"Sudahkah Tan Sri Muhyiddin lupa bahawa beliau sebahagian daripada PH dahulu?
"Beliau anggota jemaah menteri dan beliau tidak pernah membantah pemotongan Elaun Sara Hidup Nelayan yang dilakukan ketika itu.
"Barangkali Tan Sri Muhyiddin juga lupa bahawa PH telah berjanji untuk meningkatkan Elaun Sara Hidup Nelayan sekiranya situasi ekonomi mengizinkan.
"Walaupun wadah politik sudah berbeza, Tan Sri Muhyiddin tidak seharusnya menyalahkan PH dan Parti Warisan Sabah tanpa mengingati bahawa beliau sebahagian daripada PH sebelum ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.
Menurut mereka, Muhyiddin juga tidak seharusnya mengumumkan hal itu dalam siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dihadiri beliau.
Pengumuman serupa itu, menurut mereka, seolah-olah merasuah pengundi agar memenangkan Perkatan Nasional dalam PRN pada 26 September ini.
Apatah lagi Muhyididn turut menyalahkan parti Warisan sedangkan parti itu bukanlah komponen PH.
"Pengumuman tersebut ternyata bukan satu kebetulan kerana ia dibuat di Kota Kinabalu, Sabah. Seperti yang kita sedia maklum, rakyat negeri Sabah akan keluar mengundi pada 26 September ini.
"Tetapi yang lebih memusykilkan adalah apabila Muhyiddin menyalahkan Parti Warisan Sabah yang bersama PH ketika Elaun Sara Hidup Nelayan dipotong," kata mereka lagi.
Untuk rekod, Elaun Sara Hidup Nelayan pernah ditingkat dan dikurangkan pada era pemerintahan BN. Namun hal itu tidak menjadi isu ketika BN berkuasa.
Hanya pada era PH memerintah hal itu dijadikan perkara utama dalam agenda menentang kononnya penguasaan DAP dalam kerajaan yang menindas orang Melayu terutama nelayan kecil-kecilan.
Comentarios