Muhyiddin hilang keabsahan sebagai PM - KEADILAN



Perdana Menteri (PM) kerajaan 'tebuk atap' Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap telah hilang keabsahan sebagai PM sebaik sahaja pengumuman Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 September lalu bahawa majoriti Ahli-ahli Parlimen kini bersama beliau.


Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, situasi itu mendesak Muhyiddin untuk segera melepaskan jawatan bagi memudahkan proses penubuhan sebuah kerajaan baharu mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.


"KEADILAN menegaskan secara faktanya Tan Sri Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. Ini diakui oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad melalui kenyataan media beliau semalam.


"Tan Sri Muhyiddin kini secara perundangannya telah hilang keabsahan sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia. Oleh yang demikian, Muhyiddin sewajarnya berundur serta meletakkan jawatan sebagai PM dengan cara terhormat memandangkan sokongan majoriti Ahli Parlimen beralih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, kehilangan sokongan ke atas PM jelas berlaku apabila Presiden Umno/BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada tengah hari 23 September lalu menyatakan beliau tidak menghalang mana-mana Ahli Parlimen dari parti itu yang mahu menyokong Anwar.


Apatah lagi, pada Selasa, 22 September, Yang di-Pertuan Agong telah menerima Anwar untuk menghadap. Malangnya baginda gering dan terpaksa dimasukkan ke Institut Jantung Negara.


"Pengumuman Datuk Seri Anwar bahawa Muhyiddin kehilangan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen ini disahkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi melalui kenyataan beliau yang menyatakan bahawa Umno dan BN tidak dapat menghalang Ahli-ahli Parlimen mereka mengambil keputusan menyokong Datuk Seri Anwar. Datuk Seri Zahid dalam kenyataan itu juga maklum Ahli-ahli Parlimen Umno yang menyatakan sokongan adalah dalam jumlah yang ramai.


"Urutan dari kenyataan secara terbuka tersebut, KEADILAN sangat yakin Muhyiddin dengan sendirinya sedar bahawa beliau telah kehilangan sokongan majoriti. Ini memandangkan dengan sokongan penuh ahli-ahli Parlimen Umno kepada beliau sebelum ini pun, Muhyiddin hanya mempunyai selisih majoriti dua orang Ahli Parlimen sahaja.


"Kesedaran kehilangan sokongan majoriti ini turut diperkuatkan lagi dengan pengakuan Muhyiddin sendiri yang memohon Datuk Seri Anwar membuktikan sokongan majoriti beliau menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan sebagai satu proses formaliti," katanya.


Sehubungan itu, Shamsul menyeru agar peralihan kuasa dilakukan secara matang dan berhemah ketika negara masih belum pulih dari pandemik Covid 19.


Beliau juga menolak sebarang usaha untuk melengah-lengahkan peralihan kuasa atau cubaan untuk menghalang Anwar menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dengan alasan hanya PM yang berhak melakukannya.


"KEADILAN ingin menegaskan bahawa sebarang cubaan pihak-pihak tertentu untuk menghalang pertemuan Datuk Seri Anwar dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang telah di perkenankan oleh Baginda adalah satu tindakan melampaui batas dan tidak menjunjung amalan demokrasi.


"Ini sangat bertentangan dengan hasrat Seri Paduka Baginda yang jelas membuka pintu kepada rakyat di samping meneliti dengan terperinci segala isu-isu berkaitan Perlembagaan sebagaimana ketika proses lantikan Muhyiddin sebagai PM ke 8 dahulu.


"KEADILAN sesungguhnya menghormati pandangan tokoh-tokoh Perlembagaan serta ahli-ahli akademik tempatan namun KEADILAN juga menegaskan hasrat Datuk Seri Anwar sebagai Ahli Parlimen dan juga Ketua Pembangkang untuk mempersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bukti senarai nama Ahli-ahli Parlimen yang telah menyatakan sokongan majoriti juga adalah satu hak yang wajar dihormati oleh semua pihak," ujar beliau lagi.


Selain itu, Shamsul turut menegaskan, kerajaan baharu yang bakal dibentuk oleh Anwar kelak akan mewakili semua rakyat, dengan majoriti Melayu-Bumiputra dan perwakilan saksama bagi semua kaum di negara ini.


KEADILAN, kata beliau, menyokong sepenuhnya kenyataan Anwar bahawa pentadbiran baharu akan tetap menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang mengiktiraf kedudukan Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta kedudukan istimewa Melayu-Bumiputera di samping jaminan tegas mempertahankan hak warga pelbagai kaum yang lain.



PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio