'Muhyiddin henti main drama, bantu pihak berkuasa bawa balik menantu'
- Suara Keadilan
- 12 minutes ago
- 2 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar (gambar) menggesa bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin supaya berhenti bermain drama politik dan tampil membantu pihak berkuasa dalam siasatan melibatkan menantunya, Muhammad Adlan Berhan.
Menurut Mahfuz, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membatalkan pasport Adlan menunjukkan bahawa siasatan terhadap skandal kewangan besar itu kini berada pada tahap serius, malah SPRM juga telah memohon bantuan Interpol bagi menjejaki individu berkenaan.
"Adalah mustahil seorang bapa mentua, apatah lagi bekas Perdana Menteri, tidak tahu lokasi menantunya. Diamnya Muhyiddin bukan tanda tidak tahu. Jika beliau benar-benar telus dan tidak bersalah, beliau sepatutnya tampil membantu siasatan, bukan bersembunyi di balik alasan politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mahfuz, rakyat sudah muak dengan pemimpin yang kononnya melaungkan integriti dan perjuangan Islam, tetapi apabila terkena pada keluarga sendiri, terus menutup mulut dan mata.
"Inilah wajah sebenar politik munafik, bercakap soal moral tapi berkomplot melindungi salah laku orang sendiri," dakwanya.
Oleh itu, beliau mendesak pihak berkuasa meneruskan siasatan tanpa rasa gentar, dan sekiranya Muhyiddin mempunyai sesuatu maklumat tetapi menyembunyikannya maka tindakan undang-undang wajar diambil terhadap beliau.
Mahfuz turut menyindir sikap hipokrasi Muhyiddin yang sebelum ini lantang bercakap soal integriti, namun berdiam diri apabila membabitkan keluarganya sendiri.
"Bila kena orang lain, Muhyiddin lantang cakap soal integriti. Bila kena menantu sendiri terus hilang suara.
"Jangan jadi wira di mimbar, tapi penakut bila depan SPRM," katanya lagi.
Isu menantu Muhyiddin dalam buruan menjadi kontroversi semula apabila media tempatan baru baru ini mendedahkan Adlan Berhan kini hidup mewah di sebuah negara Arab yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
Manakala pemimpin Pakatan Harapan menyeru agar beliau kembali ke tanah air sekiranya tidak bersalah, dan pendakwaan tersebut bersifat politik sebagaimana didakwa penyokong pembangkang.





