'Muhammad Sanusi jangan drama sangat' - Tze Tzin


Dakwaan Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya ada usaha terancang menyingkirkan beliau mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara dibidas Ahli parlimen Bayan baru, sim Tze Tzin.
Tze Tzin mengingatkan Menteri Besar Kedah supaya tidak berlebihan berdrama.
Melalui ciapan di Twitternya, Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata, perlembagaan yang dinyatakan berkaitan Majlis Kewangan Negara jelas tertera di bawah Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan yang antara lain menetapkan ahli Majlis berkenaan turut terdiri daripada seorang wakil dari setiap negeri yang dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri yang kebiasaannya MB atau Ketua Menteri.
"Perlembagaan sangat jelas mengenai pelantikan ahli Majlis Kewangan Negara.
"Muhammad Sanusi jangan drama, nanti nampak kurang cerdik," katanya.
Sanusi semasa membuat dakwaan itu baru-baru ini enggan mendedahkan pihak didakwa mengetuai gerakan itu, beliau berkata, ada usaha menamakan Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Norizan Khazali sebagai penggantinya dalam Majlis Kewangan Negara.
Dia yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu sebelumnya pernah membuat dakwaan dilarang daripada menghadiri sebarang majlis dan program kerajaan persekutuan.
Walau bagaimanapun dakwaanya itu tidak pernah dibuktikan, malah Timbalan Perdana Menteri dalam satu laporan media menegaskan tiada larangan dikenakan kepada Sanusi sebagai Menteri Besar untuk menghadiri mana-mana program rasmi Kerajaan Persekutuan.




Comments