Muda hampir pasti bersama PH dalam PRN Johor


Pakatan Harapan (PH) hampir pasti akan menjalinkan kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac ini.
Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Johor, Jimmy Puah Wee Tse, perbincangan antara wakil PH dan Muda yang berlangsung sebelum ini amat positif dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
"PH sudah mengadakan pertemuan dengan Muda dan kita jangka dapat capai keputusan untuk jalin kerjasama dalam PRN Johor ini.
"Kerjasama itu menyaksikan parti komponen PH secara bersama akan menyerahkan sebahagian kuota kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi kepada Muda.
"Pertemuan pertama diadakan bersama Pengerusi Muda Johor, Mohd. Azrol Ab. Rahani dan juga Setiausaha Agung Muda, Nur Amira Aisyah Abd. Aziz sebelum Tahun Baharu Cina lalu," katanya dipetik Utusan.
Tambah Jimmy satu lagi mesyuarat akan diadakan untuk memuktamadkan kerjasama sebelum 9 Februari ini.
Jimmy ditemui dalam majlis ramah mesra sempena kunjungan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi di Pekan Kelapa Sawit yang turut dihadiri Pengerusi MPN KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.




Comments