Muafakat Kerajaan Perpaduan mantap, tiada sabotaj, khianat - PM
- Suara Keadilan
- 19 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Ketika gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) bagai dilanda ribut politik ekoran 'pertelagahan' antara Pas dan Bersatu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersyukur permuafakatan dalam Kerajaan Perpaduan terus mantap.
Perdana Menteri berkata kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan Perpaduan lebih ikhlas dengan tiada sebarang usaha sabotaj dan khianat.
"Saya bersyukur kerana muafakat Kerajaan Perpaduan lebih mantap, lebih ikhlas dan tiada usaha sabotaj serta khianat seperti yang berlaku dalam kalangan rakan-rakan lain (pembangkang)," katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan politik tanah air yang menyaksikan pergolakan dan krisis kepimpinan dalam PN.
Pergolakan dalam PN tercetus apabila laporan menyebut lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan tiga daripada Pas dikatakan menghantar surat Akuan Berkanun (SD) menolak kepimpinan Mohd Shukri Ramli sebelum beliau meletakkan jawatan Menteri Besar secara mengejut pada Khamis lalu.
Pas memecat tiga ADUN dari parti manakala Bersatu tidak berbuat demikian sebaliknya seorang wakil rakyatnya telah dilantik menjadi Menteri Besar baharu menggantikan Mohd Shukri pada hujung minggu lalu.
Susulan itu, pemimpin-pemimpin Pas mendesak Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dengan Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib menggesa Pas diberi laluan mengambil alih kepimpinan gabungan pembangkang itu.
Sehari selepas desakan itu, "ledakan" berlaku apabila Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari ini selepas lima tahun mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.
Tindakan sama dilakukan pemimpin Bersatu yang lain iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan Setiausaha Agung PN, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal selaku Pengerusi PN Johor, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) serta ADUN Labu Mohamad Hanifah Abu Baker (Pengerusi PN Negeri Sembilan).
Dalam masa sama, Pas turut mengambil pendirian enggan menyertai barisan Exco kerajaan negeri Perlis yang diterajui Bersatu meskipun kekal menyokong kerajaan PN di negeri itu, demikian umum Setiausaha Agung parti Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Selain itu, Exco sedia ada akan melepaskan jawatan masing-masing.





