MTEN lihat keberkesanan program rakyat, kurangkan ketirisan
- Redzuan Shamsudin
- May 15, 2023
- 1 min read

Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang bersidang hari ini membincangkan dan melihat secara yang lebih menyeluruh kepada perkongsian data dalam agensi kerajaan bagi memastikan program ekonomi dan bantuan rakyat sampai ke golongan sasar.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, perbincangan hari ini juga menumpukan ke arah pewujudan Pangkalan Data Utama (PADU) yang penting untuk memastikan keberkesanan program Kerajaan.
"Pewujudan PADU akan membantu Kerajaan memastikan sebarang program subsidi dilaksanakan dengan lebih teratur untuk mengelakkan sebarang keciciran dari kalangan penerima isi rumah yang layak.
"Kekerapan dan ketepatan data adalah penting untuk membantu penggubalan dasar Kerajaan yang dapat memenuhi keperluan dan keyakinan rakyat.
"Dalam hal ini, isu berkenaan sekuriti data juga akan ditangani dan diutamakan, serta penyelarasan lebih baik untuk mengurangkan aspek pertindihan. MTEN juga diarah untuk melihat keperluan penggubalan akta khusus untuk membolehkan inisiatif perkongsian data ini dapat diperkukuhkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, MTEN juga membincangkan program pensasaran subsidi. Setakat ini, kata Anwar, Kerajaan tidak lagi memberikan subsidi penuh tarif elektrik kepada syarikat-syarikat besar yang menggunakan tenaga elektrik pada tahap yang tinggi.
"Pengurusan subsidi yang lebih bersasar dan mampan menjadi keutamaan dalam memastikan perbelanjaan Kerajaan dapat disalurkan kepada keperluan pembangunan yang dapat memberi nilai tambah lebih tinggi kepada ekonomi negara.
"Mesyuarat MTEN yang seterusnya akan memantau keadaan ekonomi semasa serta membincangkan perkara-perkara yang menjadi keutamaan agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya lagi.
Secara keseluruhannya, tegas beliau, kerajaan kekal fokus untuk memastikan pelaksanaan dasar ekonomi dapat menjamin pembangunan yang lebih inklusif ke arah mencapai hasrat Malaysia MADANI.
Comments