MPP USM tolak jemputan pembangkang berdemo Turun Anwar
- Suara Keadilan

- Jul 23
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) memaklumkan bahawa mereka tidak akan terlibat secara rasmi dalam sebarang perhimpunan berunsur partisan termasuk Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di ibu negara.
Dalam satu kenyataan, MPP USM berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan mereka kekal sebagai entiti yang bebas, neutral dan terbuka kepada seluruh mahasiswa tanpa memihak mana-mana ideologi politik.
"Dalam masa yang sama, MPP USM ingin menegaskan bahawa USM kini berada dalam tempoh peperiksaan akhir semester.
''Justeru kami menyeru seluruh mahasiswa dan mahasiswi USM agar memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan yang sedang berlangsung,'' kata mereka.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan jemputan terbuka kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menyertai Himpunan Turun Anwar.
Bagaimanapun, MPP USM sebagai badan rasmi yang mewakili suara mahasiswa menghormati kepelbagaian pandangan dalam kalangan mahasiswa termasuk soal kepimpinan dan dasar semasa negara.
Mereka berkata, pihaknya menjunjung prinsip bahawa setiap mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara, sama ada menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak, asalkan ianya dilakukan secara berhemah, aman, dan mengikut saluran perundangan yang sah.









Comments