MPP perlu cermin kekuatan sebenar KEADILAN - Calon MPP
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 1 min read

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) perlu mencerminkan kekuatan sebenar KEADILAN yang terdiri daripada berbilang kaum dan usia perjuangan.
Calon MPP, Chua Wei Kiat berkata demikian dalam kenyataan menawarkan diri untuk ikut persaingan dalam Pemilihan KEADILAN 2025.
"Majlis Pimpinan Pusat harus mencerminkan kekuatan sebenar KEADILAN, sebuah parti berbilang kaum yang menyatukan keberanian anak muda dan kebijaksanaan generasi berpengalaman.
"Kepelbagaian ini adalah kekuatan, bukan kelemahan. Ia perlu diraikan dan dijadikan asas kepada kepimpinan masa depan parti.
"Dengan penuh keinsafan dan semangat perjuangan, saya menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat dalam pemilihan parti yang akan datang," katanya.
Wei Kiat merupakan pemimpin muda yang bergerak dari bawah sebelum menjadi Ahli Dewan Negeri Rawang, Selangor.
Menurutnya, beliau mahu melihat semangat reformasi terus menyala dalam kalangan anggota KEADILAN terutama dalam diri generasi muda.
"Semangat ini mesti terus dikekalkan dan disuntik dengan tenaga serta idealisme anak muda agar kekal relevan untuk generasi akan datang.
"Saya bermula di akar umbi, menyertai parti dengan semangat mahu menyumbang, daripada pacak bendera, edar risalah hingga mengatur ceramah kecil-kecilan.
"Semangat itu tidak pernah luntur walaupun kini saya memegang amanah sebagai wakil rakyat. Perjuangan ini bukan tentang jawatan, tetapi tentang meneruskan idealisme yang dibina bersama rakyat sejak awal gerakan reformasi," kata Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia itu lagi.
Comments