
Banjir yang mula surut di Johor membolehkan mangsa pulang ke kediaman dan membersihkan rumah masing-masing.
Sehubungan itu, Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor mengadakan lawatan menemui mangsa-mnagsa yang terjejas akibat banjir.
Diketuai oleh Pengerusi MPN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar, dua dari kanan), lawatan dilakukan ke Taman Kota Jaya yang terjejas teruk dilimpahi air setinggi paras pinggang.
"Anggota Wanita KEADILAN Cabang Kota Tinggi juga antara mangsa banjir pada minggu lalu. YB pengerusi MPN Johor menyampaikan sedikit bantuan kewangan kepada mereka," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh KEADILAN Johor.

Lawatan tersebut diteruskan ke Batu 10, Kampung Laut, Skudai. Delegasi disambut ADUN Tiram S. Gopalakrishnan dan Ahli Jawatankuasa Pimpinan KEADILAN Cabang Iskandar Puteri.
"Kampung Laut menerima impak banjir yang amat buruk. Berdasarkan dari cerita penduduk, kedalaman air banjir mencecah siling rumah.
"Perabot, perkakas elektrik dan tanaman rosak teruk. Lebih menyedihkan lagi masih ada keluarga yang tidur di luar rumah kerana keadaan kediaman yang kotor dan berlumpur," menurut kenyataan itu lagi.
Selaku Pengerusi MPN KEADILAN Johor, Syed Ibrahim telah menyampaikan sedikit bantuan kewangan kepada keluarga-keluarga yang terjejas teruk itu.