MPD: Integriti ekosistem digital tidak dikompromi, privasi rakyat dilindungi
- Suara Keadilan

- Jun 29
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Ketika kebimbangan terhadap privasi digital menjadi tumpuan perbincangan, Pengerusi Majlis Protokol Internet versi 6 (IPv6) Asia Pasifik (APAC), Prof Emeritus Dr Sureswaran Ramadass menegaskan bahawa integriti ekosistem digital negara tidak seharusnya dikompromi dan disalahfahami.
Beliau yang merupakan pakar keselamatan siber menyifatkan Program Data Telefon Bimbit (MPD) yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai langkah penting dalam memelihara dan memperkukuh ekosistem digital negara.
"Data yang dikumpul dalam program tersebut adalah data agregat, tanpa nama dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti secara individu (PII).
"Data ini merangkumi metadata teknikal seperti kekuatan isyarat dan corak penggunaan rangkaian yang digunakan untuk tujuan analisis prestasi, perancangan spektrum dan kesiapsiagaan bencana.
"Integriti ekosistem digital kita mesti dilindungi, bukan sahaja daripada ancaman siber tetapi juga daripada maklumat salah yang boleh menjejaskan kemajuan negara," ujar Dr Sureswaran.

Beliau menegaskan bahawa MCMC beroperasi di bawah rangka undang-undang yang kukuh seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, yang menetapkan sempadan jelas terhadap penyalahgunaan data dan akses data adalah terhad untuk tidak digunakan untuk tujuan komersial.
Menurut Dr Sureswaran lagi, salah satu ancaman terbesar terhadap integriti digital hari ini adalah kehilangan kepercayaan akibat salah maklumat dan kebimbangan terhadap naratif “pengawasan kerajaan” yang disebarkan tanpa pemahaman teknikal yang betul.
"Adalah malang apabila langkah-langkah tadbir urus yang bertanggungjawab disamakan dengan pencerobohan.
"Ketelusan dan komunikasi berterusan dengan rakyat adalah asas untuk mengekalkan kepercayaan," kata Dr Sureswaran yang terlibat secara mendalam dalam bidang infrastruktur rangkaian dan keselamatan siber
Ujarnya pendekatan proaktif MCMC yang melibatkan pakar keselamatan siber dan industri telekomunikasi dalam memastikan setiap proses pemantauan dijalankan secara etikal dan berlandaskan bukti.
"Program Data Telefon Bimbit bukan sekadar usaha teknikal, tetapi merupakan komponen strategik dalam hala tuju Malaysia ke arah sebuah negara digital yang inklusif.
"Data yang dikumpul membolehkan perancangan liputan 5G yang lebih efisien, pembangunan bandar pintar dan tindak balas kecemasan yang lebih cepat dan tepat.
"Negara-negara seperti Korea Selatan dan Finland telah pun melaksanakan sistem serupa dengan kejayaan yang membuktikan data boleh digunakan secara bertanggungjawab demi kepentingan awam tanpa mengorbankan privasi individu," katanya lagi.
Justeru, Dr Sureswaran menyeru masyarakat agar tidak membiarkan paranoia mengaburi realiti kemajuan dan menegaskan bahawa Program Data Telefon Bimbit bukanlah alat pengintipan, tetapi satu pendekatan pintar untuk memperkukuh ketersambungan dan kebajikan rakyat dalam era digital.
"Janganlah kita mencampurkan tadbir urus yang baik dengan pencerobohan.
"Ini adalah bahagian penting dalam perjalanan digital negara yang dibina atas dasar kepercayaan, data yang dilindungi, dan integriti sistem yang utuh.
"Dengan pendekatan yang telus dan bertanggungjawab, Malaysia dilihat berada di landasan tepat untuk membina sebuah ekosistem digital yang kukuh, beretika dan mampu memberi manfaat maksimum kepada rakyat," kata beliau lagi.









Comments