MP Wangsa Maju anjur anugerah Sukan Parlimen, iktiraf atlet terbaik
- Redzuan Shamsudin
- Dec 5, 2023
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Buat julung kalinya, Pusat Khidmat Parlimen Wangsa Maju telah menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah Sukan di parlimen tersebut.
Program yang dianjurkan semalam itu telah disampaikan oleh Ahli Parlimen (MP) Wangsa Maju, Zahir Hassan kepada atlet-atlet yang mengambil bahagian hasil rekod pencapaian mereka yang cemerlang.
"Turut diraikan dalam majlis tersebut, Leong Jun Hao atlet badminton kebangsaan yang telah menjuarai Kejohanan Badminton KL Master 2023 yang lalu dalam kategori perseorangan lelaki.
"Selain itu, Pasukan Bola Sepak Sri Tioman 1 FC dan Pasukan Bola Sepak R1 Seksyen 1, masing-masing merupakan juara dan pemenang tempat ketiga dalam DBKL Home Cup 2023 Edisi Kedua baru-baru ini," kata Zahir dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, wakil rakyat Wangsa Maju tersebut turut menganugerahkan gelaran Atlet Harapan Wangsa Maju 2023 kepada Aisya Humairah Mohd Sharizal, 13 tahun, pelajar SMK Pendidikan Khas Setapak yang merupakan atlet para atas pencapaian cemerlang beliau dalam sukan renang.
"Aisya telah memenangi empat pingat emas dalam Sirkit 1 Para Renang MSN 2023 dan empat lagi pingat emas dalam 1st CMAS Freediving and Finswimming PARA Sport World Championship di Itali baru-baru ini. Beliau juga telah mencatatkan empat rekod dunia baharu semasa di Itali," ujarnya.
Kemuncak majlis tersebut merupakan penyampaian Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Sekolah Menengah Parlimen Wangsa Maju 2023 yang diberikan kepada Muhammad Aiman Farhan Mohd Fuzi dan Nur Aliyya Sumayyah Mohamed Tarmizi selain kedua penerima anugerah berkenaan membawa pulang hadiah berupa Geran Tajaan Melanjutkan Pengajian.
"Ini kali pertama kita adakan majlis ini. InshaAllah kita rancang untuk adakan majlis ini sebagai program tahunan di Wangsa Maju.
"Saya berharap melalui majlis penghargaan seperti ini, penglibatan sukan di Wangsa Maju dapat dipertingkatkan dan lebih banyak bakat sukan dapat dilahirkan," kata Zahir lagi.
コメント