top of page

MP PJ, Subang khianat mandat PH, tidak wajar tuntut dana kerajaan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 3 min read

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dibidas kerana didakwa membelakangkan mandat yang diberikan pengundi atas tiket Pakatan Harapan (PH) selepas kini didakwa memilih untuk bersama gerakan politik baharu yang mahu mencabar kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.


Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin (gambar) berkata kedua-dua wakil rakyat itu tidak boleh mengharapkan akses kepada saluran peruntukan kerajaan selepas secara terbuka menjajarkan diri dengan sebuah wadah politik yang ditubuhkan untuk menentang gabungan pemerintah.


"Sekatan akses portal MyKhas terhadap kedua-dua ahli parlimen berkenaan bukan satu bentuk penganiayaan politik sebaliknya akibat langsung daripada pilihan dan pendirian politik yang mereka ambil sendiri.


"Anda tidak boleh memilih untuk bersama dengan pihak yang mahu menumbangkan kerajaan dan dalam masa yang sama menuntut dana daripada kerajaan tersebut. Ini soal prinsip dan akauntabiliti paling asas," katanya dalam kenyataan hari ini.


Bryan yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang dan Aduan KEADILAN Selangor berkata, kebajikan penduduk di Petaling Jaya dan Subang tidak akan terjejas kerana semua bentuk bantuan masyarakat, dana sekolah, sokongan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan projek pembangunan akan terus disalurkan melalui penyelaras kawasan serta saluran institusi kerajaan yang berkaitan.


Beliau mendakwa tindakan Chean Chung dan Wong Cheng menghadiri pelancaran Parti Bersama Malaysia yang diterajui bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Mei lalu membuktikan mereka telah memilih haluan politik yang bertentangan dengan PH.


Katanya, wadah politik baharu yang diterajui kedua-dua bekas pemimpin kanan KEADILAN itu jelas ditubuhkan untuk menentang PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 16, bermula dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal menjelang.


Malah dakwa Bryan Ng, Wong Chen melangkah lebih jauh dengan mengisytiharkan secara terbuka hasratnya untuk bertanding dalam PRU akan datang di bawah bendera parti saingan tersebut.


"Dengan menjajarkan diri secara aktif bersama sebuah wadah politik yang direka untuk menumbangkan gabungan parti pemerintah sedia ada, kedua-dua Ahli Parlimen ini telah mencabut kesetiaan mereka terhadap mandat yang diberikan oleh pengundi dalam PRU-15," ujar beliau.


Bryan turut menyifatkan dakwaan bahawa kedua-kedua Ahli Parlimen itu menjadi mangsa tindakan pentadbiran sebagai cubaan meraih simpati awam.


"Adalah amat tidak masuk akal dari segi logik politik untuk menuntut Kerajaan Perpaduan terus menyalurkan dana Persekutuan melalui wakil rakyat yang kini giat membina kekuatan untuk sebuah parti musuh."


Mengulas mengenai Chean Chung, Bryan mendakwa kemenangan Ahli Parlimen Petaling Jaya itu pada PRU-15 bukan disebabkan pengaruh peribadinya, sebaliknya hasil kekuatan jenama PH serta kerja keras jentera parti di peringkat akar umbi.


"Anda datang dari seberang Banjaran Titiwangsa sebagai orang luar, seorang bekas ADUN dari Pahang yang langsung tidak dikenali oleh majoriti besar pengundi bandar di PJ.


"Anda tidak menakluk kubu kuat ini atas tiket kemasyhuran peribadi. Anda menang di Petaling Jaya semata-mata kerana logo Pakatan Harapan yang tertera di sebelah nama anda dan atas usaha gigih tanpa lelah kami, ahli-ahli parti tempatan yang mengetuk pintu rumah pengundi, menggantung bendera di tengah hujan lebat dan menjaga saluran mengundi untuk anda," katanya.


Beliau menyifatkan tindakan Chean Chung membelakangkan akar umbi parti sebagai satu pengkhianatan terhadap pengorbanan anggota dan sukarelawan yang membantu memenangkan beliau.


Mengenai Wong Chen pula, Bryan mendakwa Ahli Parlimen Subang itu terlalu lama menikmati kedudukan selesa di bawah platform parti tetapi pada masa sama sering mengambil sikap bertentangan dengan kerajaan.


Beliau turut mempersoal tindakan Wong mengkritik kerajaan selepas kontraknya sebagai Pengerusi Malaysia Debt Ventures (MDV) ditamatkan baru-baru ini.


"Anda tidak boleh berlagak seperti pejuang pembangkang, mengamuk apabila keistimewaan korporat dalam GLC ditarik balik dan dalam masa yang sama menuntut jutaan ringgit dana kerajaan yang sepatutnya dikhaskan untuk penyokong kerajaan yang setia," katanya.


Beliau berkata langkah menyekat akses MyKhas, satu peruntukan tambahan dari Pejabat Perdana Menteri itu dibuat bagi memastikan dana awam tidak digunakan untuk membiayai gerak kerja atau kempen parti politik baharu yang bakal menjadi pencabar kepada kerajaan.


"Apabila seseorang wakil rakyat telah menunjukkan tanda-tanda jelas beralih arah dan berpaling tadah sebelum tamat penggal mereka, pihak kerajaan mempunyai hak institusi untuk menguruskan dana awam melalui saluran alternatif yang teratur," katanya yang juga Ahli Majlis MBPJ.


Menurut Bryan lagu, penduduk Petaling Jaya dan Subang akan terus menerima manfaat daripada peruntukan kerajaan sebaliknya yang terjejas hanyalah percaturan politik peribadi kedua-dua ahli parlimen berkenaan.


"Perkara tunggal yang terganggu ketika ini hanyalah muslihat dan percaturan politik peribadi mereka sendiri," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page