MP Petaling Jaya tinjau kerosakan struktur sekolah Jalan Selangor
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ahli Parlimen (MP) Petaling Jaya, Lee Chean Chung menegaskan komitmennya untuk terus menyokong segala inisiatif yang memberi manfaat kepada pembangunan pendidikan dan pembentukan sahsiah murid, demi melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing pada masa hadapan.
Katanya, meskipun sibuk menggalas tanggungjawab pada sidang Parlimen yang lalu, beliau sempat meluangkan masa meninjau keadaan kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Selangor Satu.
Tinjauan itu ujarnya meliputi pemeriksaan terhadap salah satu struktur bumbung di padang sekolah yang mengalami kerosakan akibat ribut kuat dan gelanggang bola baling yang telah lama rosak.
"Hasil tinjauan ini penting untuk memahami keadaan sebenar di lapangan, memandangkan kemudahan tersebut digunakan secara harian oleh murid-murid, termasuk pasukan bola baling sekolah yang aktif dan berpotensi mengharumkan nama sekolah serta negeri.
"Perkara ini akan terus saya bawa dan susuli dengan pihak berkaitan agar kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan.

Chean Chung turut melahirkan rasa gembira apabila berpeluang meluangkan masa bersama murid-murid SK Jalan Selangor Satu dalam Majlis Apresiasi 2025, seminggu selepas beliau turun padang meninjau keadaan kemudahan di sekolah tersebut.
"Majlis yang penuh bermakna ini bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai pencapaian dan usaha gigih para murid, malah sebagai tanda penghargaan kepada warga pendidik yang sentiasa komited mendidik anak-anak bangsa dengan penuh dedikasi dan kasih sayang.
"Saya percaya kejayaan murid-murid hari ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat," katanya yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN.









Comments