Oleh: Abdullah Zaid
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyampaikan hasrat penduduk di kawasan beliau kepada Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon dalam kunjungannya ke pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Hal itu dinyatakan Chean Chung dalam sidang media di pejabatnya petang tadi. Beliau menyatakan telah menyampaikan tiga hasrat penduduk yang perlu diselesaikan pihak MBPJ kepada datuk bandar yang baharu dilantik itu.
"Penduduk mahukan laluan pejalan khas menghala Stesen MRT Phileo Damansara.
"Mereka juga mahu penyediaan perhentian bas di Taman Medan, perlu dilakukan bagi memudahkan urusan pengguna yang banyak tertumpu di kawasan itu," katanya.
Selain itu, kata Chean Chung, penduduk juga mahu isu pengurangan sewa tapak letak kereta membabitkan pemilik premis di Petaling Utama dikemaskini oleh pihak MBPJ.
"Saya ada membuat saranan agar pembayaran itu dikurangkan, buat masa ini MBPJ sudah membuat pengurangan tetapi ada aduan yang saya terima menyatakan ia masih tidak menyeluruh, maka saya sarankan pihak MBPJ turun padang untuk membuat kemaskini," katanya.
Dalam sidang media itu Chean Chung turut mengumumkan Pusat Khidmat Parlimen Petaling Jaya akan mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina dan Pesta Makanan bagi merapatkan hubungan, khususnya dalam kalangan masyarakat Tionghua.
Beliau berkata, program yang diadakan pada Ahad ini membabitkan 30 gerai makanan yang menyediakan pelbagai juadah dan sajian tradisi masyarakat Cina.
"Kita akan mengedar baucer sebanyak RM15 kepada setiap pengunjung untuk membeli dan merasai sendiri makanan yang terdapat di program itu.
"Oleh itu, kita harap program ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama penduduk tetapi dapat memperkenalkan makanan tempatan selari dengan agenda membeli barangan lokal," katanya kepada media.
コメント