MP Pas, Wawasan keluar Dewan: 'Di luar mahu bahas RCI TH, dibawa fakta, lari'
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Tindakan Ahli Parlimen (MP) Pas dan Wawasan meninggalkan Dewan Rakyat ketika penerangan mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dibentangkan hari ini dianggap sebagai tindakan politik tidak matang.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata tindakan itu tidak mencerminkan kesungguhan untuk memperjuangkan kepentingan pendeposit Tabung Haji, khususnya ketika fakta dan penemuan laporan berkenaan sedang dijelaskan di dalam Dewan.
"Di luar Dewan mereka menjerit bising kononnya aset Tabung Haji dijual dan dilelong. Tetapi apabila fakta, penemuan dan penjelasan RCI dibentangkan di dalam Dewan, mereka pula yang bangun meninggalkan tempat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, sekiranya benar mahu memperjuangkan kepentingan pendeposit, Ahli Parlimen pembangkang sepatutnya berada di dalam Dewan untuk mendengar penerangan dan mengemukakan hujah sekiranya tidak bersetuju.
"Kalau benar mahu membela pendeposit, duduk, dengar dan bahas. Tidak setuju berhujahlah dengan waras. Kalau ada fakta yang mahu dicabar, kemukakanlah bukti.
"Tetapi keluar Dewan ketika penerangan sedang diberikan bukan tindakan seorang pejuang kebenaran," katanya.
Menurut Mahfuz, orang yang benar-benar mahukan jawapan tidak sepatutnya meninggalkan dewan ketika penerangan dan jawapan sedang diberikan.
Beliau juga mempersoalkan alasan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani rawatan dan berada di bawah pemantauan doktor sebagai penyebab pembangkang keluar dewan.
"Perdana Menteri tidak hadir kerana doktor memintanya berehat. Pembangkang lari keluar Dewan atas nasihat doktor mana pula. Tidak hadir kerana apa? Sakit apa atau takut fakta?" tanyanya.
Dalam nada sinis, Mahfuz berkata Ahli Parlimen Pas dan Wawasan yang meninggalkan Dewan ketika pembentangan laporan berkenaan seolah-olah memerlukan “rawatan mental politik” apabila berdepan fakta yang tidak selari dengan naratif mereka.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya membaca laporan RCI Tabung Haji secara menyeluruh dan tidak memilih fakta tertentu semata-mata untuk kepentingan politik.
Katanya, sekiranya terdapat kelemahan dan kegagalan terdahulu yang didedahkan menerusi laporan itu, perkara berkenaan perlu diterima dan diperbaiki.
"Kalau laporan yang sama turut menjelaskan rasional langkah pemulihan serta penstrukturan yang dibuat, jangan pula bahagian itu disorokkan kerana tidak sesuai dengan naratif politik.
"Jangan pilih fakta daripada RCI seperti memilih lauk di pasar malam — ambil yang sedap kepada selera politik, tinggalkan yang pahit kepada naratif sendiri," katanya.
Mahfuz berkata pendeposit Tabung Haji tidak memerlukan wakil rakyat yang hanya lantang di luar Dewan, sebaliknya memerlukan wakil yang sanggup mendengar, bertanya dan mempertahankan amanah mereka berdasarkan fakta.
"Di luar Dewan mereka menjerit ‘Selamatkan Tabung Haji’. Di dalam Dewan, apabila laporan tentang Tabung Haji dibentangkan, mereka pula yang perlu diselamatkan daripada fakta.
"Politik identiti takut kepada soalan. Politik integriti berani duduk mendengar jawapan dan memberi pandangan serta cadangan," katanya lagi.




Comments