MP Padang Serai akui beberapa kali ditawar wang, jika sokong PN


Ahli Parlimen Padang Serai M Karupaiya mengakui beliau sudah beberapa kali ditawar wang jika bertindak keluar dari KEADILAN, malah digesa untuk sertai parti kerajaan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


Paling terbaru, beliau mendakwa individu bernama Azhar menghubunginya dan berjanji akan menyalurkan peruntukan dan kontrak sekiranya beliau bersetuju untuk lompat parti dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).


“Ada orang ‘call’ saya dari Putrajaya, dia kenalkan diri sebagai Azhar. Saya tidak pasti nama samaran atau apa, saya tidak tahu.


“Dia ingin tawarkan saya sertai Bersatu. Dia kata akan bagi tawaran peruntukan yang lebih baik, kontrak dan sebagainya.


“Tetapi saya tolak, saya beritahu saya setia kepada parti,” katanya.


Malah Karupaiya berkata, ia bukanlah kali pertama individu berkenaan menghubunginya.


“Hari Ahad minggu ini, adalah kali kedua dia hubungi saya, pertama kali dia hubungi saya tidak berapa faham tentang apa yang dia katakan.


“Saya katakan saya tidak faham dan kena semak dahulu dengan Anwar berkenaan perkara ini,” katanya.


Karupaiya menjelaskan, beliau tidak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak dapat mengesahkan sama ada panggilan itu dibuat oleh individu sebenar atau hanya panggilan palsu.


“Siapa-siapa sahaja boleh hubungi kita, boleh juga hendak uji, saya tidak tahu.


“Bagi saya, sesiapa sahaja boleh uji dan sekiranya individu betul juga boleh uji saya.


“Saya setia kepada parti dan pengundi di kawasan. Saya tidak akan pindah walaupun bagi peruntukan atau tidak, saya masih jalankan tugas sebagai Ahli Parlimen,” katanya.


Karupaiya bagaimanapun bimbang sekiranya berlaku tindakan lanjut yang cuba memerangkapnya dengan gejala rasuah.


“Saya takut juga, nanti ada yang ugut. Letakkan satu beg dalam kereta saya dan kata saya sudah ambil rasuah.


“Sekarang benda ini boleh berlaku. Saya tidak mahu macam itu, apa-apa benda boleh berlaku pada kita, bila-bila masa,” katanya.


Walaupun sudah beberapa kali beliau menolak tawaran tersebut, anggota keluarganya pula menjadi sasaran.


“Semalam, ada yang hubungi anak lelaki saya selepas saya katakan tidak berminat sebelum ini.


“Mereka hubungi anak saya dan memintanya untuk hubungi saya. Anak saya katakan, sekiranya diberikan RM50 juta, saya tetap tidak akan berganjak.


“Saya tidak pasti bagaimana mereka dapat nombor telefon anak saya.


“Anak saya menetap di Kuala Lumpur dan sesetengah ahli politik tahu siapa beliau.


“Anak saya katakan bahawa ayahnya dalam keadaan stabil dan sekiranya dia tidak ada kemampuan kewangan, maka anaknya akan membantu,” katanya.


Karupaiya merupakan salah seorang daripada lima Ahli Parlimen KEADILAN yang sedang dipancing untuk menyokong kerajaan seperti didedahkan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.


Empat yang lain adalah Ahli Parlimen Sg Siput, S Kesavan, Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari, Ahli Parlimen Miri, Michael Teo Yu Keng dan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER