MP letak jawatan: Kebajikan rakyat Petaling Jaya mesti diutamakan - Halimey


Kebajikan rakyat Petaling Jaya perlu terus menjadi keutamaan susulan keputusan Lee Chean Chung meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen (MP) kawasan itu berkuat kuasa serta merta semalam.
Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Petaling Jaya, Halimey Abu Bakar berkata, perkembangan politik dalaman tidak sewajarnya menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata, segala isu membabitkan kebajikan, perumahan, pendidikan, kesihatan, kos sara hidup, pengangkutan dan permasalahan masyarakat perlu terus diberikan perhatian sewajarnya.
"Sebagai pimpinan Cabang Petaling Jaya, saya menghormati keputusan yang telah dibuat olehnya. Namun begitu, perkara paling utama yang perlu diberikan perhatian ketika ini ialah kepentingan rakyat Petaling Jaya yang telah memberikan mandat melalui proses demokrasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Halimey, mandat rakyat merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab oleh setiap wakil rakyat dengan mengambil kira kepentingan masyarakat yang diwakili.
Sehubungan itu, beliau menegaskan KEADILAN Cabang Petaling Jaya akan terus memberi tumpuan kepada kerja khidmat masyarakat dan memastikan suara penduduk kawasan berkenaan terus didengari.
"Saya juga ingin menegaskan bahawa KEADILAN Cabang Petaling Jaya akan terus memberi tumpuan kepada kerja-kerja khidmat masyarakat dan memastikan suara rakyat Petaling Jaya terus didengar.
"Dalam apa jua keadaan, kita perlu menjaga keharmonian masyarakat dan mengelakkan perpecahan," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan pandangan serta perkembangan politik perlu ditangani secara matang, terbuka dan berlandaskan prinsip demokrasi.
Dalam pada itu, Halimey merakamkan penghargaan kepada Chean Chung atas segala khidmat dan sumbangannya sepanjang menjalankan amanah sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya.
Beliau turut menyeru penduduk Petaling Jaya supaya kekal tenang dan terus mengutamakan kebajikan rakyat, pembangunan kawasan serta masa depan masyarakat setempat.
"Kita terus bekerja. Terus berkhidmat. Kepentingan rakyat Petaling Jaya tetap menjadi keutamaan," tegas Halimey.




Comments