top of page

MP Jasin jangan hanya mohon maaf, bersihkan fitnah yang ditabur - KEADILAN Melaka

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Apr 22
  • 2 min read

Budaya ‘fitnah dahulu, mohon maaf kemudian’ sewajarnya dihentikan dan tidak lagi berulang khususnya dalam gelanggang politik tanah air, tegas Eddiarman Mohd Yunos.


Ketua Penerangan KEADILAN Melaka itu merujuk kepada kes Ahli Parlimen (MP) Jasin, Zulkifli Ismail yang mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek susulan kenyataan fitnah yang dikeluarkan pada 2023.


Eddiarman berkata, budaya ‘fitnah dahulu, mohon maaf kemudian’ bukan isu baharu, sebaliknya telah lama beliau bangkitkan sejak bertahun-tahun lalu.


"Ia bukan sahaja dalam kes Zulkifli, malah turut melibatkan pimpinan dan pemain politik lain," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Zulkifli yang memohon maaf selepas memfitnah Fadhlina kononnya melarang takbir dan bacaan Qunut Nazilah di sekolah ketika program Minggu Solidariti Palestin pada 2023.


Mengulas lanjut, Eddiarman berkata, Zulkifli yang juga Pesuruhjaya Pas Melaka sepatutnya tidak hanya membuat permohonan maaf, tetapi berusaha untuk membersihkan fitnah yang ditaburnya.


Katanya, permohonan maaf tersebut setakat ini hanya dilaporkan oleh media tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada individu terbabit dalam bentuk surat atau video untuk tujuan sebaran umum.


Ujarnya, keadaan itu berisiko menyebabkan fitnah berkenaan terus berlegar, khususnya dalam kalangan pihak yang tidak mengikuti perkembangan semasa dan hanya bergantung kepada maklumat yang dikongsi melalui kumpulan WhatsApp dan Telegram parti sahaja.

Eddiarman Mohd Yunos
Eddiarman Mohd Yunos

"Oleh itu, saya ingin mengusulkan kepada Tuan Guru Zulkifli agar tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dalam platform sosial media dan sebagainya.


"Saya yakin dengan kaedah ini bukan sahaja fitnah tersebut akan terhenti dengan tuntas, malah ia akan membersihkan nama YB Zulkifli sendiri yang juga dianggap sebagai seorang tuan guru agama," katanya lagi.


Kelmarin, Zulkifli ketika membacakan kenyataannya di mahkamah terbuka berkata, pihaknya mengaku kenyataan yang dikeluarkan telah mengundang tafsiran yang pelbagai dan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap Fadhlina.


Beliau juga mengaku pihak sekolah sebenarnya dibenarkan untuk membuat laungan takbir dan membaca qunut nazilah ketika Minggu Solidariti Palestin.


"Maka, kami memohon maaf kepada Yang Berhormat, Fadhlina Sidek di atas kenyataan-kenyataan tersebut dan bersetuju membayar kos sebanyak RM15,000 kepada beliau," katanya yang turut mewakili defendan kedua dan ketiga.


Pada masa sama Zulkifli turut bersetuju untuk menarik balik sepenuhnya, secara mutlak dan tanpa sebarang syarat kenyataan-kenyataan tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page