top of page

MP Bersatu meterai MoU dengan kerajaan, sokong Belanjawan 2027

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
13 hours ago
3 min read
TS Muhyiddin (kiri) mengetuai MP Bersatu menandatangani CSA dengan Kerajaan Perpaduan
TS Muhyiddin (kiri) mengetuai MP Bersatu menandatangani CSA dengan Kerajaan Perpaduan

Kerajaan MADANI memperoleh sokongan enam Ahli Parlimen Bersatu terhadap Belanjawan 2027 menerusi pemeteraian perjanjian dengan kumpulan itu yang turut dikaitkan dengan pelaksanaan dua reformasi institusi sebelum berakhir penggal pentadbiran semasa.


Dua reformasi yang menjadi tuntutan sebelum ini ialah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta mengasingkan peranan Peguam Negara daripada Pendakwa Raya.


Perjanjian itu membabitkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lima lagi Ahli Parlimen parti berkenaan ketika kerajaan sedang berdepan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat.


Selain Muhyiddin (Pagoh), turut terlibat ialah Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Ali Biju (Saratok), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi), Datuk Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Azman Nasrudin (Padang Serai).


Sebelum ini terdapat ura-ura untuk menggagalkan kelulusan Belanjawan 2027 sekali gus menyeret kerajaan untuk mengumumkan pilihan raya umum mengejut.


Turut menandatangani memorandum persefahaman antara kerajaan dan Ahli Parlimen itu ialah wakil rakyat Bebas yang sebelum ini menyokong kerajaan perpaduan.


Antara pimpinan politik pelbagai parti yang hadir dalam majlis menandatangani MoU petang ini
Antara pimpinan politik pelbagai parti yang hadir dalam majlis menandatangani MoU petang ini

Perjanjian itu ditandatangan di Bangunan Parlimen petang ini.


Antaranya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).


Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadhilah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang mewakili pihak kerajaan.


Perkembangan itu menyusuli kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Selasa lalu bahawa kerajaan terbuka menyediakan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang melalui Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) mengikut pendekatan yang pernah digunakan ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang.


Anwar dipetik berkata kerajaan bersedia menggunakan format perjanjian terdahulu tanpa perlu meminda kandungannya manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof diberi mandat mengendalikan rundingan dengan wakil pembangkang.


Menerusi CSA, sokongan terhadap urusan keyakinan kerajaan dan kelulusan perbekalan, termasuk belanjawan, boleh dipersetujui tanpa Ahli Parlimen terbabit menyertai pentadbiran kerajaan.


Perjanjian itu juga membuka ruang kepada penyaluran peruntukan bagi kawasan Parlimen yang diwakili mereka tertakluk kepada terma dan mekanisme pelaksanaan yang dipersetujui.


Pada 2021, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu diketuai Anwar sebagai Ketua Pembangkang.


Perjanjian berkenaan merangkumi reformasi pentadbiran dan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman serta beberapa agenda lain, dengan PH bersetuju menyokong atau berkecuali dalam undian tertentu berkaitan keyakinan kerajaan dan rang undang-undang perbekalan.


Sementara itu, Bersatu yang mempunyai 19 Ahli Parlimen sebelum ini, 13 daripadanya dilaporkan telah berpihak kepada kem diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.


Hamzah bersama beberapa bekas wakil rakyat Bersatu sebelum ini dikaitkan dengan Parti Wawasan Negara (WAWASAN) yang dilancarkan pada Jun lalu.


Blok kerajaan di Dewan Rakyat mempunyai 149 Ahli Parlimen termasuk PH dengan 75 kerusi, Barisan Nasional (BN) sebanyak 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak 23 dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebanyak tujuh kerusi.


Tiga Ahli Parlimen Warisan turut berada dalam blok kerajaan bersama masing-masing seorang wakil Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).


Lapan Ahli Parlimen bebas turut menyokong kerajaan termasuk enam bekas wakil Bersatu.


Blok pembangkang pula terdiri daripada Pas dengan 43 Ahli Parlimen, WAWASAN (enam) dan MUDA (seorang).


Empat kerusi Parlimen masih kosong susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).


Dengan 218 Ahli Parlimen aktif ketika ini, sekurang-kurangnya 112 sokongan diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah manakala majoriti dua pertiga memerlukan 146 undi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page