top of page

MP Alor Setar main sentimen, putar belit fakta subsidi LPG - Luqman

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 2
  • 2 min read

ree

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Alor Setar, Kedah menempelak kenyataan Ahli Parlimen (MP) Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang cuba membawa naratif kononnya kerajaan menindas peniaga kecil melalui larangan penggunaan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.


Ketua Penerangannya Luqman Rosli, menyifatkan dakwaan Afnan sebagai cubaan mengelirukan rakyat dan bermotifkan kepentingan politik.


"Cubaan Afnan mencipta naratif kononnya subsidi ditarik balik adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat


"Peniaga kecil yang menggunakan satu hingga tiga tong LPG bersubsidi (14kg) masih dibenarkan membeli pada harga RM26. Langkah penguatkuasaan yang sedang dijalankan hanya menyasarkan penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya dipetik.


Luqman sementara itu menegaskan, kerajaan tidak pernah memansuhkan subsidi LPG seperti yang digambarkan pembangkang, sebaliknya mengekalkan bantuan tersebut untuk isi rumah dan peniaga kecil yang mematuhi peraturan.


Manakala, pelaksanaan Operasi GASAK bermula Mei 2025 bertujuan membanteras penyelewengan subsidi termasuk aktiviti decanting, penyeludupan dan penyalahgunaan oleh premis industri besar, bukannya menekan rakyat.


"Langkah penguatkuasaan ini membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memastikan subsidi dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak, bukan disalahgunakan untuk keuntungan pihak tertentu.


"Subsidi bersasar ini adalah sebahagian daripada reformasi fiskal yang penting dalam memastikan kelestarian ekonomi negara dan kesejahteraan jangka panjang rakyat," tambahnya.


Afnan sebelum ini mendakwa kononnya kerajaan menekan peniaga kecil apabila melarang penggunaan tong LPG bersubsidi dan memaksa peniaga kecil beralih kepada tong gas komersial berharga hampir RM70.


Sebagai rekod, penguatkuasaan dijalankan susulan pindaan Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang mengehadkan penggunaan LPG melebihi 42kg tanpa permit.


Pindaan itu diluluskan pada Oktober 2021, semasa Pas masih menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional.


"Ironinya, peraturan itu diperkenalkan semasa Pas dalam kerajaan, namun kini cuba menuding jari kepada kerajaan sedia ada dengan menunggang sentimen rakyat.


"Justeru itu orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan berunsur politik tanpa asas fakta yang kukuh yang disebar di laman sosial.


"Sebelum menuding jari dan menyebar persepsi palsu, adalah penting untuk mendapatkan fakta sebenar daripada sumber sahih," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page