MOT sasar projek aerotren KLIA siap akhir tahun ini - Anthony Loke
- Suara Keadilan
- Mar 19, 2024
- 1 min read

Kementerian Pengangkutan (MoT) mensasarkan projek aerotren Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan siap menjelang akhir tahun ini.
Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, bagi tujuan itu kementeriannya bakal memantau secara teliti kemajuan projek tersebut.
Beliau berkata, projek berkenaan sedang dilaksanakan memandangkan kontrak itu telah dirundingkan semula dan konsortium yang menjalankan projek itu telah ditubuhkan.
"Kami sedang memantau kemajuannya dan mahu mereka menyiapkan projek ini. Sasaran kami adalah sebelum akhir tahun ini," katanya dipetik.
Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis memeterai perjanjian antara kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di Sepang pada Isnin.
Kerajaan Malaysia menerusi MoT dan MAHB semalam memeterai perjanjian operasi baharu selama 45 tahun sehingga 11 Feb 2069.
Pembuat gerabak kereta api Perancis, Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd dilaporkan telah dilantik sebagai pembuat peralatan tulen bagi projek itu dan turut bertindak sebagai peneraju penyelarasan projek.
Menerusi perjanjian tersebut, pengendali lapangan terbang itu akan meneruskan peranannya mengendali, mengurus, menyenggara dan membangunkan 39 lapangan terbang dan lapangan terbangan landasan pendek (STOLPorts) di seluruh negara.
Comments