Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang melaksana kajian untuk mencari struktur terbaik berkaitan kadar cukai jalan kenderaan elektrik (EV).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sehingga tahun 2025, kenderaan EV di negara ini menikmati pelepasan cukai dan kementeriannya mahu memanfaatkan tempoh yang ada untuk mencari jalan supaya usaha menggalakkan orang ramai memiliki kenderaan jenis itu boleh diteruskan.
"Struktur cukai jalan bagi kenderaan EV ini mestilah selari dengan dasar kerajaan dalam mempromosikan penggunaan kenderaan EV di negara ini.
"Jadi nak promosikan EV ini, kita kena pelbagaikan insentif, insentif itu kena ada dan yang penting cukai jalan yang dikenakan nanti, mestilah pada kadar yang kompetitif," katanya di Dewan Rakyat.
Malaysia meletakkan sasaran pengurangan gas rumah kaca bagi pengurangan impak perubahan iklim di negara ini.
Melalui Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030, menyasarkan memasang 10,000 tempat pengecasan EV menjelang 2025 sebagai usaha menggalakkan penggunaan kenderaan EV.
Untuk tujuan sama, dijangka akan lebih banyak insentif berkaitan EV akan disediakan dalam Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan.
"Kerajaan akan mengumumkan lebih banyak insentif berkaitan EV dalam Bajet 2023 yang disemak semula," kata Nik Nazmi dalam satu majlis pada awal Januari lalu.
Sementara itu Loke ketika mengulas mengenai ekosistem berkaitan penggunaan kenderaan EV mengakui kemudahan fasiliti pengecasan perlu diperkasa dan diperbanyak bagi mencapai objektif itu.
Comments