Kementerian Pengangkutan terus giat melaksana usaha yang dapat memudahkan rakyat selari dengan konsep Malaysia Madani diperkenal kerajaan.
Terbaharu Menterinya, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan orang ramai kini boleh memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) masing-masing untuk tempoh maksimum 10 tahun, berbanding had lima tahun sebelum ini.
Bukan sekadar itu, pembaharuan lesen memandu untuk tempoh 10 tahun itu juga akan dikenakan fi istimewa, iaitu percuma untuk tahun ke-10.
"Mana-mana pemegang LMM yang memperbaharui LMM untuk tempoh 10 tahun sekali gus akan hanya dikenakan bayaran untuk tempoh sembilan tahun sahaja.
"Maksudnya ada diskaun 10 peratus, untuk makluman bayaran lesen memandu adalah RM30 setahun. Jikalau membayar 10 tahun sekali gus bayaran yang akan dikenakan adalah RM270, penjimatan RM30," jelas pada sidang media di Putrajaya semalam.
Walau bagaimanapun jelasnya inisiatif itu hanya sah untuk warganegara Malaysia dan mereka hendaklah memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa adalah tidak melebihi satu tahun.
Selain lanjutan tempoh lesen itu, beliau turut mengumumkan kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh.
Kebenaran itu jelasnya mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sepanjang pandemik Covid-19 serta kekangan dihadapi rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui LMM masing-masing kerana tidak berpeluang untuk pulang ke tanah air.
"MOT akan memberi kebenaran khas kepada mana-mana pemegang LMM yang telah tamat tempoh sah laku untuk memperbaharui LMM masing-masing tanpa perlu menjalani semula ujian.
"Namun, kebenaran khas ini hanya terhad kepada LMM yang mana tempoh sah laku telah tamat mulai 1 Januari 2018 dan ke hadapan sahaja.
"Untuk makluman, ketika ini dasar sedia ada sesiapa lesen mereka yang sudah tamat tempoh melebihi tiga tahun dia tak boleh perbaharui lagi, kena ambil ujian semula," tambahnya.
Menyentuh mengenai kebenaran khas itu Loke berkata, ia hanya akan berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2023 sahaja. Peraturan sedia ada akan berkuat kuasa semula pada 1 Januari 2024.
Comments